KUALA UMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas membatalkan kerjasama dengan DAP bersama Pakatan Rakyat (PR) apabila suara dan perkataan Islam diminta untuk disembunyikan serta berlakunya tentangan terhadap Islam yang menjadi dasar dan matlamat parti itu.
Menurut beliau, Pas juga menolak kalangan anggota parti itu sendiri yang mengambil pendekatan mujamalah (toleransi atau mengambil hati) supaya menyembunyikan cita-cita negara Islam dan pelaksanaan Islam bagi meneruskan kerjasama dengan pihak lain.
Jelas beliau, Pas banyak mengambil pengalaman daripada beberapa gerakan Islam di beberapa negara yang mengambil pendekatan mujamalah sehingga membuang label Islamnya, lalu ditukar kepada perkataan keadilan, kemerdekaan, islah, amanah, dan sebagainya.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas tidak pernah mengkhianati kerjasama dengan pihak lain mengikut sempadan Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW.
Sebaliknya, ujar beliau, Pas bekerjasama dengan semua pihak sejak mula ditubuhkan sebelum kemerdekaan menentang penjajahan, dan selepas kemerdekaan bagi mengisi kemerdekaan dengan teguh atas prinsip Islamnya dan membatalkan kerjasama apabila mahu diheret keluar daripada landasannya.
“Ketegasan Pas dalam istiqamah bersama Islam menjadikannya gagal diheret dan dipergunakan dalam permainan politik yang tidak ikhlas bersama Islam.
“Semua pihak yang mahukan Pas menjadi tangga tujuan politik mereka berkonsepkan oportunis akan meninggalkan Pas dengan menerjunkan diri, sehingga terhumban tanpa tangga ataupun dicampak dan tersungkur keluar dalam keadaan membawa diri yang hilang tujuannya dan pasti tenggelam dalam gelombang politik yang sentiasa bergelora.
“Namun begitu, bahtera PAS tidak tenggelam, walaupun pernah kehilangan kerusi dan pemimpinnya silih berganti,” katanya menerusi Minda Presiden Pas yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.
















