Harris Idaham Rashid.

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia (Armada) menuntut siasatan penuh dan bebas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan seorang mahasiswa, Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi yang telah ditampar oleh Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad dalam satu kejadian yang didakwa berlaku di khalayak ramai di sebuah majlis rasmi.

Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid menegaskan, penafian Azhar tidak mencukupi untuk menutup atau menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau berkata, sebaliknya siasatan menyeluruh perlu dilakukan oleh pihak berkuasa kerana ia melibatkan dakwaan perbuatan jenayah di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

“Armada turut menyeru mana-mana saksi yang berada di lokasi kejadian untuk tampil membuat laporan atau memberi keterangan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Armada mahu menegaskan bahawa, sekiranya terdapat bukti mencukupi, tindakan undang-undang yang sewajarnya perlu dikenakan terhadap individu yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, Armada menyatakan solidariti terhadap mahasiswa juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Kelantan sesi 2025/2026 itu kerana didakwa terkesan dari segi maruah dan reputasi ekoran insiden tersebut.

Ini kerana katanya, beliau merupakan seorang pemimpin pelajar yang dihormati dalam kalangan mahasiswa.

Menurut dakwaan juga, kejadian itu berlaku selepas Nik Alif memaklumkan, bahawa beliau merupakan cucu kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, seorang tokoh ulama dan bekas Menteri Besar Kelantan.

Armada menegaskan bahawa perbezaan politik tidak boleh dijadikan alasan untuk sebarang bentuk tindakan yang mencemarkan maruah atau melibatkan kekerasan serta menyeru agar politik matang dan saling menghormati terus diamalkan tanpa mengira latar belakang, agama dan ideologi.

Terdahulu, Azhar yang juga Ahli Dewan Negara menafikan dakwaan beliau menampar pelajar berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya amat kesal di mana kejadian yang berlaku pada 20 Mei lalu dalam sebuah program di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) Janda Baik itu, tidak memaparkan keseluruhan konteks kejadian.

Malah katanya, tiada sebarang tamparan, serangan fizikal atau perbuatan kasar berlaku seperti yang didakwa. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Bukan tampar tapi sentuh pipi tanda ‘kemesraan’

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast