TASEK GELUGOR – Lebih 2,000 orang hadir memeriahkan Program Kenduri Sekampung @ Tasek Gelugor anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui TEKUN Nasional yang berlangsung di Masjid Jamek Al Marbawi, Sungai Dua di sini.
KUSKOP dalam kenyataan berkata, program itu menyaksikan TEKUN Nasional menyumbang lima ekor lembu daripada keseluruhan 36 ekor lembu yang disumbangkan pelbagai agensi di bawahnya sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
“Program ini merupakan cetusan idea Menteri KUSKOP, Steven Sim Chee Keong yang mahu agensi-agensi khususnya yang terlibat dalam pembiayaan usahawan, terus turun padang dan menyantuni rakyat di negeri ini serta kawasan lain di seluruh negara.
“Inisiatif berkenaan juga memberi manfaat kepada hampir 500 keluarga B40 di sekitar Tasek Gelugor menerusi pengagihan daging korban percuma serta penganjuran majlis kenduri rakyat
“Selain itu, lebih 100 sukarelawan dan kakitangan TEKUN Nasional Pulau Pinang turut terbabit dalam program itu yang dilaksanakan secara gotong-royong bermula proses penyembelihan, melapah sehingga memasak,” katanya hari ini.
Tambahnya, program seumpama itu bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah turut mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat melalui pendekatan turun padang. – MalaysiaGazette
















