Pravin Murali

KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar mempertimbangkan mekanisme alternatif bagi menyalurkan bantuan dan peruntukan kepada rakyat di Parlimen Subang sekiranya Ahli Parlimennya, Wong Chen dilihat tidak lagi selari dengan mandat serta perjuangan parti yang membawanya ke Dewan Rakyat.

Ketua Cabang Subang merangkap Naib Ketua AMK Malaysia, Pravin Murali berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan kebajikan penduduk Subang terus terbela dan tidak terjejas akibat sebarang percaturan politik individu.

Menurut beliau, peruntukan yang disalurkan kepada Ahli Parlimen bukan hak milik peribadi mana-mana wakil rakyat, sebaliknya merupakan dana awam yang diperuntukkan kerajaan bagi membantu rakyat serta membangunkan kawasan yang diwakili.

“Jika terdapat keadaan di mana seseorang Ahli Parlimen tidak lagi bergerak seiring dengan mandat parti yang digunakan ketika bertanding dan memenangi pilihan raya, maka kerajaan berhak mempertimbangkan saluran lain yang sesuai untuk memastikan rakyat terus menerima manfaat.

“Jangan salahkan kerajaan sekiranya peruntukan disalurkan melalui penyelaras kawasan atau mekanisme lain yang diiktiraf.

“Apa yang perlu dijawab ialah mengapa timbul persepsi dan tanda-tanda bahawa wakil rakyat tersebut tidak lagi bersama haluan parti yang diwakilinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bersih Wong
Wong Chen

Pravin berkata, kemenangan seseorang calon dalam pilihan raya tidak boleh dilihat sebagai kejayaan individu semata-mata kerana ia turut disumbangkan oleh parti, jentera pilihan raya, sukarelawan serta pengundi yang memberikan sokongan berdasarkan logo dan manifesto parti.

Beliau berkata, Wong Chen yang telah beberapa penggal mewakili Subang seharusnya memahami kedudukan yang dinikmatinya hari ini adalah hasil kepercayaan yang diberikan oleh parti dan rakyat, bukannya atas kekuatan peribadi semata-mata.

“Rakyat mengundi berdasarkan platform perjuangan parti. Apabila seseorang calon bertanding menggunakan logo, jentera dan sokongan penuh parti, maka beliau mempunyai tanggungjawab moral untuk menghormati mandat yang diberikan.

“Sekiranya seseorang wakil rakyat memilih untuk menyimpang daripada mandat tersebut, maka langkah-langkah tertentu perlu diwujudkan bagi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa kepada keputusan politik individu,” ujarnya.

Tegasnya lagi, fokus utama semua pihak seharusnya tertumpu kepada kepentingan rakyat dan bukannya mempertahankan kepentingan mana-mana individu.

“Pembangunan kawasan mesti diteruskan, kebajikan rakyat perlu dijaga dan segala bentuk bantuan harus sampai kepada mereka yang memerlukan melalui saluran yang tersusun dan berkesan.

“Rakyat Subang tidak boleh menjadi mangsa kepada sebarang percaturan politik.

“Amanah yang diberikan oleh pengundi perlu dihormati dan mandat parti yang menjadi asas kemenangan dalam pilihan raya juga tidak boleh dipandang ringan,” tambahnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast