Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap ketika sidang media pada Majlis Kerjasama Strategik Antara Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan bagi Pemerkasaan TVET Anggota ATM di Perdana Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 04 JUN 2026.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertahanan menggalakkan bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menyumbang kepada ekonomi negara melalui peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan selepas tamat perkhidmatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, adalah merugikan sekiranya anggota tentera yang bersara pada usia muda tidak lagi terlibat dalam aktiviti ekonomi sedangkan negara memerlukan tenaga kerja mahir dan berpengalaman.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan menerusi PERHEBAT membantu memastikan bakal pesara tentera menerima latihan yang selari dengan keperluan industri sebelum ditawarkan pekerjaan.

Sebahagian anggota ATM dan wakil syarikat yang hadir pada Majlis Kerjasama Strategik Antara Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan bagi Pemerkasaan TVET Anggota ATM di Perdana Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 04 JUN 2026.

“Kita tidak mahu mereka hanya menerima pencen semata-mata. Kita mahu mereka mendapat pekerjaan bermaruah dengan gaji yang baik supaya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Kerjasama Strategik MOT dan MINDEF di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sektor pengangkutan mempunyai banyak keperluan tenaga kerja terutama dalam bidang logistik, rel dan penyelenggaraan pesawat (MRO) yang sesuai dengan kemahiran dimiliki veteran ATM.

Beliau berkata, kerajaan juga mempermudah proses pertukaran lesen memandu tentera kepada lesen awam termasuk lesen kelas E bagi membolehkan bekas anggota tentera terus bekerja dalam sektor logistik dan pengangkutan berat tanpa kos tambahan.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja membantu veteran ATM memperoleh pekerjaan berkualiti dengan gaji mencecah lebih RM4,000 sebulan, malah turut membantu industri yang kini berdepan kekurangan tenaga mahir. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast