GEORGE TOWN – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) menafikan dakwaan bahawa parti itu menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan.
Ketua Pergerakan Pemuda KIMMA, Rais Ahmad Mohamed Hussain berkata, laporan tersebut tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli parti serta masyarakat umum.
Menurutnya, KIMMA merupakan parti komponen yang sentiasa berdiri teguh dan setia bersama Barisan Nasional (BN) serta parti teras gabungan itu, UMNO.
“KIMMA telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim di negara ini melalui wadah perjuangan BN yang berlandaskan kestabilan politik, keharmonian kaum dan pembangunan negara.
“Sehubungan itu, sebarang dakwaan atau persepsi bahawa KIMMA menjalinkan kerjasama politik dengan Perikatan Nasional dalam PRN Johor adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan pendirian rasmi parti,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, KIMMA tidak pernah membuat sebarang keputusan atau ketetapan yang bertentangan dengan dasar serta semangat kerjasama yang telah dipersetujui dalam gabungan Barisan Nasional.
Rais berkata, KIMMA akan terus komited mendukung perjuangan BN dan UMNO dalam usaha membina negara yang lebih stabil, makmur dan bersatu demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
Beliau turut menegaskan bahawa jentera KIMMA Johor seperti biasa bersiap sedia untuk turun padang lebih awal bagi membantu memastikan kemenangan calon-calon BN.
“Justeru kita berharap semua pihak mendapatkan pengesahan daripada kepimpinan parti sebelum menyiarkan atau menyebarkan sebarang maklumat yang melibatkan kedudukan serta pendirian rasmi KIMMA.
“Tanggungjawab media dalam menyampaikan laporan yang tepat dan seimbang amat penting bagi mengelakkan salah faham serta spekulasi yang boleh menjejaskan hubungan baik antara parti-parti dalam gabungan.
“Kami juga berharap pihak media berkaitan dapat memberikan penjelasan dan melakukan pembetulan sekiranya terdapat kekhilafan dalam laporan yang telah disiarkan demi memastikan integriti kewartawanan terus terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette
















