Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara di Dataran Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 JUN 2026

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan sehingga RM50 juta daripada dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan digunakan bagi memperkasa pelaksanaan TVET 2.0.

Beliau berkata, dana itu akan dimanfaatkan bagi memperkukuh latihan dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), kriptologi dan peralihan tenaga yang kini menjadi antara keperluan utama industri global.

Menurutnya, penggunaan peruntukan berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan pemain industri menerusi Majlis TVET Negara.

“Kita membenarkan sehingga RM50 juta daripada dana Program Berimpak Tinggi di bawah PTPK digunakan untuk TVET 2.0.

“Syaratnya, majikan dan industri mesti bekerjasama dengan kerajaan khususnya dalam Majlis TVET Negara untuk menjayakannya supaya ada penyelarasan yang lebih baik,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh.

Beliau berucap pada Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melawat reruai pameran selepas Perasmian Sambutan Hari TVET Negara di Dataran Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 JUN 2026

Dalam masa sama, Anwar mengumumkan semua badan penyelidikan kerajaan akan diwajibkan menyediakan peluang latihan kepada pelajar TVET terpilih bermula bulan depan.

Jelas beliau, setiap institusi penyelidikan kerajaan akan diminta menerima antara 50 hingga 100 pelatih TVET bagi mengikuti latihan khusus dalam bidang yang berkaitan dengan teknologi masa depan.

Katanya, pelatih berkenaan akan ditempatkan di pelbagai pusat penyelidikan termasuk institusi di bawah Majlis Sains Negara bagi memperoleh kemahiran tambahan yang belum ditawarkan secara meluas dalam sistem pendidikan sedia ada.

“Saya mahu pastikan semua badan latihan dan penyelidikan kerajaan berikhtiar memberi peluang latihan awal kepada pelajar TVET yang terpilih untuk menguasai bidang-bidang baharu dalam AI, kriptologi dan peralihan tenaga,” ujarnya.

Menurut beliau, langkah itu mampu meningkatkan nilai graduan TVET sehingga setanding, malah dalam sesetengah bidang melebihi kelayakan akademik konvensional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melawat reruai pameran selepas Perasmian Sambutan Hari TVET Negara di Dataran Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 JUN 2026

Justeru, beliau berpandangan graduan TVET yang memiliki kepakaran khusus dalam bidang berteknologi tinggi wajar menerima ganjaran setimpal berdasarkan kemahiran yang dimiliki.

Anwar turut menegur syarikat swasta yang masih kurang memainkan peranan dalam pembangunan bakat meskipun mendapat manfaat daripada tenaga kerja yang dilatih menggunakan dana kerajaan.

Beliau berkata, syarikat yang memerlukan tenaga kerja mahir pada masa depan perlu mula menawarkan lebih banyak peluang latihan dan pendedahan kepada pelajar TVET sebelum mereka memasuki pasaran pekerjaan.

Menurutnya, perkembangan pesat teknologi serta kemasukan pelaburan asing bernilai tinggi ke negara ini menuntut Malaysia menyediakan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri.

Katanya, keperluan tersebut semakin mendesak apabila syarikat global kini lebih memberi tumpuan kepada kemahiran khusus berbanding kelayakan akademik semata-mata.

“Sekarang mereka tidak lagi bercakap soal keperluan siswazah semata-mata, tetapi keperluan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran khusus dan mampu memenuhi tuntutan teknologi baharu,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) ketika Perasmian Sambutan Hari TVET Negara di Dataran Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 JUN 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast