Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara di Dataran Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 JUN 2026

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan kemelut yang melanda Negeri Sembilan ketika ini perlu ditangani menerusi meja rundingan dan semangat permuafakatan, bukannya melalui pertikaian berpanjangan di mahkamah.

Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati institusi serta mekanisme adat yang menjadi sebahagian daripada sistem pemerintahan Negeri Sembilan, termasuk peranan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Menurutnya, pendekatan rundingan lebih sesuai bagi mencari jalan penyelesaian yang dapat diterima semua pihak tanpa menjejaskan kestabilan negeri.

“Saya berpendapat perkara ini elok diselesaikan melalui perbincangan dan musyawarah kerana ia melibatkan institusi yang perlu dihormati.

“Pada masa yang sama, kita mesti menghormati peranan dan kedudukan DKU dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Kenyataan itu hadir ketika polemik berkaitan kedudukan pemerintahan Negeri Sembilan terus menjadi perhatian susulan beberapa perkembangan membabitkan institusi adat dan pentadbiran negeri itu sejak beberapa hari lalu.

Ahmad Zahid bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkembangan terkini, sebaliknya menegaskan keutamaan ketika ini adalah mencari penyelesaian secara baik demi menjaga keharmonian dan kestabilan negeri.

Beliau turut berharap semua pihak dapat mengelakkan tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Kita mahu perkara ini diselesaikan dengan sebaik mungkin dan dalam suasana yang harmoni,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast