Antara dadah yang dirampas dalam Op Taring Landai - Intra/Inter Agensi di kawasan Parit Amat Laut Muar semalam.

MUAR – Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah RM57.15 juta dalam Op Taring Landai-Intra/Inter Agensi di Parit Amat Laut di sini semalam.

Serbuan itu dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada pukul 12.30 tengah malam.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, operasi tersebut hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan dadah.

“Setibanya di lokasi kejadian, pihak polis mengesan sebuah bot dan beberapa buah kenderaan dalam keadaan yang mencurigakan.

“Pemerhatian awal mendapati beberapa individu sedang memunggah sejumlah bungkusan disyaki dadah ke dalam bot berkenaan yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya segera menyerbu bot terbabit dan berjaya menahan dua suspek warga tempatan iaitu seorang lelaki berusia 63 tahun dan seorang wanita berusia 43 tahun yang mana kedua-duanya disyaki berperanan sebagai penghantar.

Antara dadah yang dirampas dalam Op Taring Landai – Intra/Inter Agensi di kawasan Parit Amat Laut Muar semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan menyeluruh, polis menemukan guni dan plastik hitam disyaki berisi dadah yang disembunyikan di dalam bot serta bonet kenderaan terbabit.

Menurutnya, rampasan dadah bernilai RM57,150,900 membabitkan 517 bungkusan plastik bertulisan ‘Guanyinwang’ disyaki dadah jenis syabu seberat 549 kilogram, 191,268 unit pil ekstasi dan 4,000 katrij berisi cecair Yakuza.

Menurut beliau, turut disita tujuh kereta bernilai RM204,487 serta sebuah sampan jenis fiber bersama-sama dua unit enjin Yamaha Enduro 85 kuasa kuda (HP) bernilai RM70,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah mencecah lebih RM57.42 juta.

Sebuah daripada tujuh kereta yang dirampas dalam serbuan dadah dilakukan
PPM Wilayah Dua Johor

Tambahnya, semua tangkapan serta barang rampasan dibawa ke IPD Muar untuk proses dokumentasi serta tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada masa sama, Noor Azman menegaskan PPM Wilayah Dua Johor akan terus melaksanakan operasi bagi membanteras kegiatan dadah.

Masyarakat juga katanya, digesa menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast