Brissty Vidalyn Felicianus

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang cedera termasuk patah bahu dan kaki akibat kemalangan ketika pulang daripada aktiviti pendakian di Bukit Chanang, Keningau, Sabah disahkan layak menerima faedah di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam satu kenyataan memaklumkan, Brissty Vidalyn Felicianus, 33, merupakan pencarum aktif bawah Skim LINDUNG 24 Jam.

Menurut PERKESO, hasil semakan mendapati, mangsa terlibat dalam kemalangan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung pada 2 Jun lalu ketika turun ke lokasi permulaan pendakian.

“Akibat kemalangan itu, Brissty mengalami kecederaan patah tulang bahu kanan, patah tulang kaki kanan, luka bahagian kepala sebelah kiri dan beberapa luka ringan di anggota badan.

“Difahamkan, beliau telah mendapat rawatan di Hospital Keningau.

“Sebagai pencarum aktif beliau layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakitnya yang disahkan pegawai perubatan,” menurut PERKESO.

Tambah Pertubuhan itu, beliau menerima sijil cuti sakit sehingga 15 Jun ini dan akan dijadualkan untuk pembedahan pemasangan besi bagi rawatan lanjut terhadap kecederaan patah tulang yang dialami.

“Skuad Prihatin PERKESO telah melawat mangsa di rumah pada 9 Jun lepas untuk mendapatkan segala maklumat diperlukan.

“PERKESO akan terus memantau keadaannya dan bersedia memberi rawatan pemulihan bagi memastikan wanita tersebut dapat kembali bekerja,” menurut kenyataan itu.

Jelas PERKESO, kejadian menimpa petugas di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Keningau itu membuktikan risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan tidak terhad ketika seseorang sedang bekerja.

Bahkan, dalam tempoh hanya beberapa hari selepas pelaksanaan LINDUNG 24 Jam, PERKESO telah menerima beberapa kes kemalangan bukan bencana kerja melibatkan pelbagai situasi, sekali gus mengukuhkan keperluan perlindungan yang lebih menyeluruh.

“Ini membuktikan bahawa perlindungan sosial tidak wajar terhad kepada waktu bekerja semata-mata,” tambah kenyataan itu.

Sama ada ketika bersukan, beriadah, bercuti mahupun menjalani aktiviti harian, kemalangan boleh mengubah kehidupan seseorang dalam sekelip mata.

“Justeru, perlindungan keselamatan sosial yang menyeluruh amat penting bagi mengelakkan pekerja berdepan kesukaran kewangan ketika ditimpa musibah,” katanya.

LINDUNG 24 Jam diperkenalkan bagi memastikan pekerja di Malaysia mempunyai perlindungan berterusan sekiranya berlaku kejadian tidak diduga yang boleh menjejaskan pendapatan, kesihatan dan kesejahteraan keluarga.

“Menerusi inisiatif terbaharu daripada PERKESO ini, pencarum yang mengalami kemalangan di luar waktu kerja masih mempunyai jaringan keselamatan sosial yang membantu mereka meneruskan kehidupan dan proses pemulihan dengan lebih teratur,” jelas kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast