KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas gagal menamakan pengantinya, Tan Sri Idrus Harun sebagai pihak ketiga dalam kes saman yang difailkan Tan Sri Shahrir Ab. Samad terhadap beliau atas pendakwaan berniat jahat.
Hakim Gan Techiong memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan kerajaan dan dua pihak lain untuk mengetepikan notis pihak ketiga yang sebelum ini dikeluarkan terhadap Idrus pada 30 Januari lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan kes saman tersebut pada 19 Ogos manakala September pada 4, 7, 9, 29 dan 30.
Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Techiong berpuas hati, Tommy selaku defendan pertama tidak akan diprejudiskan jika mahkamah mengetepikan notis pihak ketiga terhadap Idrus.
Beliau turut berpendapat, hak berperlembagaan
Tommy selaku defendan pertama dalam kes saman itu, tidak akan terjejas tanpa kehadiran Idrus yang merupakan penggantinya.
“Jika defendan pertama perlu memanggil Idrus sebagai saksi, beliau boleh memohon sapina supaya Idrus hadir ke mahkamah,” ujar Hakim Techiong.
Mahkamah seterusnya berpendapat, kerajaan mengambil pendirian, defendan pertama membuat keputusan untuk mendakwa Shahrir dalam kapasiti rasminya sebagai Peguam Negara ketika itu tanpa niat jahat.
Menurut hakim, Shahrir (plaintif) sendiri memilih untuk tidak menamakan Idrus sebagai defendan bersama dalam tindakan sivil itu dan ia adalah prerogatif plaintif untuk menentukan siapa yang hendak disamannya.
Mahkamah selanjutnya berpendapat, jika kerajaan didapati bertanggungjawab secara vikarius dan defendan kedua dan ketiga perlu membayar ganti rugi, tiada asas untuk defendan pertama menuntut sebarang ganti rugi daripada pihak ketiga.
Defendan keempat juga tidak sepatutnya membayar kos tambahan bagi pihak ketiga.
Tommy yang memegang jawatan Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020, pada awalnya telah memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi pada 30 Januari lalu untuk memfailkan tuntutan pihak ketiga.
Kerajaan kemudian memohon untuk mengetepikan notis berkenaan.
Dalam samannya, Shahrir mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam jawatan awam yang dilakukan oleh Tommy.
Shahrir memfailkan saman selepas Mahkamah Tinggi pada 5 Januari 2023, menggugurkan pertuduhan terhadapnya atas dakwaan gagal mengisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), wang yang diterima sebagai pendapatan bercukai, selepas pihak pendakwaan menarik balik kes tersebut.
Saman itu difailkan pada Disember 2023 dengan menamakan Tommy, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga keempat.
Pertikaian tersebut berpunca daripada cek RM1 juta yang diterima Shahrir daripada Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.
Dalam samannya, Shahrir mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam jawatan awam, yang kemudian dinafikan oleh Tommy.
Tommy menyatakan beliau meletak jawatan pada 28 Februari 2020, manakala perbicaraan jenayah terhadap Shahrir hanya bermula pada 26 Julai 2022.
Dalam prosiding ini, peguam, Syahrul Syazwan Salehin hadir bagi pihak Shahrir manakala peguam Mervyn Lai dan Haikaldin Mahyidin untuk Tommy. Defendan kedua hingga keempat diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Elina Mohd Dom. – MalaysiaGazette














