KUANTAN – Kuantan International Kite Festival 4.0 yang bakal dianjurkan di Pantai Cherating, di sini bermula 1 Julai depan diunjurkan dihadiri lebih 20,000 pengunjung dari dalam dan luar negara selain penduduk tempatan.
Datuk Bandar Kuantan, Datuk Zaliza Zulkipli berkata, penganjurannya dengan kerjasama Majlis Pelayang Malaysia (MPM) kali ini akan disertai 66 orang pelayang dari 17 buah negara termasuk Malaysia.
“Sebelum ini ada penglibatan 10 negara sahaja. Kali ini antara negara yang pertama kali menyertai festival ini adalah Sweden, Poland, Tunisia, Jepun dan India.
“Dan sudah tentulah kita akan dapat lihat pelbagai jenis layang-layang gergasi termasuk LED Glowing pada waktu malam.
“Kita percaya ini merupakan peluang dan kesempatan baik khusus kepada penduduk sekitar Cherating dan kawasan sekitar termasuk di daerah Kemaman.
“Tiga kali sebelum ini kita buat di Pantai Sepat memang mendapat sambutan yang hangat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media penganjuran Kuantan International Kite Festival 4.0 Wind, Ocean and Wave (WOW) 2026 di Kompleks Bandaraya Kuantan, di sini hari ini.
Menurut Zaliza, acara itu juga dijangka turut memanfaatkan para pelayar yang menjadikan Pantai Cherating sebagai destinasi aktiviti sukan tersebut.
Lebih istimewa, katanya, majlis pelancaran acara tersebut dijangka akan disempurnakan Tengku Panglima Perang, Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah pada 4 Julai ini.
Mengulas mengenai isu logistik dan tapak lokasi penganjuran festival itu yang dikatakan lebih kecil berbanding penganjuran di Pantai Sepat sebelum ini, beliau berkata, mesyuarat penyelarasan telah diadakan dengan pihak berkaitan untuk memastikan kelancaran program itu nanti.
“Itu antara perkara yang kita tekankan iaitu pengurusan lalu lintas dan parkir kenderaan semasa program dijalankan.
“Kita sudah tetapkan enam zon parkir kenderaan selain pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) turut menyediakan perkhidmatan shuttle sepanjang acara berlangsung.
“Alhamdulillah, pihak Majlis Perbandaran Kemaman pula berbesar hati untuk untuk menyumbangkan enam buah buggy untuk kegunaan shuttle nanti. Jadi keseluruhan ada 10 shuttle untuk kegunaan pengunjung yang terpaksa parkir kenderaan jauh sedikit,” jelasnya.
Difahamkan, MPM juga menyediakan pelbagai acara sisipan ketika festival itu nanti, antaranya 42 buah gerai menjual makanan dan cenderamata selain turut mengadakan bengkel dan pameran. – MalaysiaGazette
















