GOMBAK – Tapak pelupusan haram di Villa Bestari berdekatan Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) di sini dilaporkan terbakar sejak semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Bandar Baru Selayang), Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 10.59 pagi hari ini.
Tambahnya, seramai 12 anggota dari BBP Bandar Baru Selayang bersama sebuah jentera dan unit EMRS dikejarkan ke lokasi yang tiba pukul 11.12 pagi.

“Alhamdulillah, setakat hari ini, peratusan yang berjaya dipadamkan sebanyak 75 peratus daripada keseluruhan kebakaran dan baki yang belum dipadamkan dianggarkan 25 peratus untuk keseluruhan tapak ini.
“Kita perçaya kebakaran itu mungkin telah berlaku lebih awal sebelum dikesan berikutan lokasi tapak pelupusan yang jauh daripada kawasan penempatan penduduk.
“Semakan mendapati, keluasan longgokan sampah ini adalah 2.5 ekar dengan anggaran kedalaman cerun iaitu 50 meter sekali gus memberi cabaran untuk proses pemadaman,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.
Tambah beliau, teknik pemadaman dilakukan menggunakan kaedah relay pumping dari sumber air sungai berhampiran sejauh 800 kaki dengan tiga pancutan serta bantuan jengkaut dari Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Mengulas lanjut, katanya, pihak bomba turut berdepan cabaran ketika proses pemadaman antaranya cuaca panas, tiupan angin serta faktor muka bumi dengan keadaan tanah yang lembut.
“Apabila cuaca panas ditambah tiupan angin yang kering memberi risiko berlaku merebak api dengan mudah ke dalam belukar berhampiran.
“Selain itu, pihak anggota turut berdepan situasi tamah yang lembut sekali gus berlaku runtuhan cerun ketika proses pemadaman dijalankan,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka ketika musim panas yang boleh mengundang kebakaran lebih besar. – MalaysiaGazette
















