Nasrun Nasaruddin

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menggesa anak muda yang tinggal dan bermastautin di ibu negara supaya segera menukar alamat tempat mengundi ke kawasan kediaman masing-masing bagi memastikan suara mereka terus memainkan peranan dalam menentukan masa depan Kuala Lumpur.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin berkata, antara faktor yang memberi kesan kepada keputusan pilihan raya di ibu negara adalah kerana ramai pengundi muda masih berdaftar di kampung halaman walaupun menetap dan bekerja di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan sebahagian besar anak muda perlu pulang ke kampung untuk mengundi setiap kali pilihan raya diadakan.

“Realitinya, ramai anak muda yang tinggal di Kuala Lumpur masih berdaftar sebagai pengundi di kampung halaman masing-masing. Apabila tiba hari pengundian, sebahagian besar mereka terpaksa pulang untuk mengundi, manakala ada juga yang akhirnya tidak dapat berbuat demikian kerana kekangan kerja, komitmen keluarga dan kos perjalanan yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Nasrun yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju berkata, situasi tersebut mengakibatkan ramai pengundi muda gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi menyebabkan hak mereka tidak digunakan.

Menurutnya, jika Kuala Lumpur merupakan tempat seseorang individu mencari rezeki, membina keluarga dan merancang masa depan, maka suara mereka juga sewajarnya didengari di bandar raya berkenaan.

“Daftarlah di tempat anda tinggal dan mengundilah di tempat anda bermastautin.

“Anak muda perlu memainkan peranan dalam menentukan masa depan komuniti yang mereka diami dan jangan biarkan orang lain menentukan hala tuju ibu kota tanpa penyertaan mereka,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, walaupun satu undi dilihat kecil, ribuan undi anak muda mampu membawa perubahan besar kepada landskap politik Kuala Lumpur.

“Setiap undi mempunyai nilai dan kuasa tersendiri. Penyertaan anak muda dalam proses demokrasi adalah penting untuk memastikan aspirasi generasi muda terus diangkat dalam pentadbiran negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast