KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan sesi townhall bersama komuniti pelari dan penganjur acara larian bagi mendapatkan pandangan, maklum balas serta cadangan berhubung pembangunan ekosistem aktiviti larian dan rekreasi di ibu negara.
Sesi townhall yang berlangsung hari ini turut melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, pengurus-pengurus acara larian serta wakil kelab-kelab pelari dari Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Menurut Hannah, aktiviti larian kini semakin berkembang sebagai budaya hidup sihat yang mendapat sambutan meluas dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa aktiviti rekreasi tidak lagi tertumpu di taman-taman awam atau kawasan perumahan semata-mata, malah turut memanfaatkan ruang awam dan laluan bandar yang lebih luas,”katanya dalam sesi townhall hari ini.
Sementara itu, mengenai aspek keselamatan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, berkata isu berkenaan tidak dibangkitkan secara serius oleh komuniti pelari kerana kebanyakan mereka berlari secara berkumpulan menerusi kelab masing-masing.
“Setakat ini, mereka tidak bergerak bersendirian. Mereka ada kumpulan dan kelab larian sendiri. Tiada isu keselamatan yang benar-benar dibangkitkan kecuali perkara berkaitan kemudahan asas seperti tandas, pencahayaan dan sebagainya,”katanya.
Beliau berkata, DBKL bagaimanapun akan terus meneliti aspek kemudahan dan infrastruktur termasuk pencahayaan, laluan pejalan kaki serta kemudahan awam bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat dan mesra kepada komuniti pelari.
DBKL memaklumkan sesi berkenaan menjadi platform penting untuk mendengar pandangan komuniti pelari mengenai pelbagai isu, cabaran dan keperluan yang dihadapi ketika menjalankan aktiviti larian sama ada pada waktu siang mahupun malam.
Selain itu, peserta turut diberi ruang mengemukakan cadangan bagi memperkukuh pembangunan ekosistem aktiviti larian dan rekreasi di Kuala Lumpur.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk aspek keselamatan laluan larian, kesesuaian serta kebolehcapaian kemudahan untuk komuniti pelari, keberkesanan penganjuran acara larian dan cadangan penambahbaikan terhadap infrastruktur serta kemudahan awam yang menyokong gaya hidup aktif.
Penganjuran sesi itu mencerminkan usaha berterusan pihak berkuasa tempatan berkenaan dalam menghidupkan ruang awam menerusi aktiviti sihat yang mampu memperkukuh interaksi sosial dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
DBKL turut menekankan bahawa program KL Car Free Morning yang diadakan setiap Ahad terbukti menjadi platform berkesan dalam menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti riadah dan gaya hidup sihat, selain mengoptimumkan penggunaan ruang awam secara lebih inklusif. – MalaysiaGazette
















