Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama penduduk selepas hadir pada Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak supaya menghentikan kempen dan naratif yang memecahbelahkan masyarakat berdasarkan kaum dan parti politik.

Sebaliknya, beliau menegaskan, kempen yang sihat perlu memberi tumpuan kepada usaha memperjuangkan kepentingan rakyat serta memelihara keharmonian negara.

Menurut beliau, Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu, Islam dan Bumiputera tetap perlu menjamin hak serta kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Jangan dengar kempen-kempen yang melagakan antara Melayu dan Cina atau antara parti tertentu. Jika masing-masing terus bertelagah atas isu kaum, yang akan rugi adalah rakyat di bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Bukit Kiara hari ini.

Menurut Anwar lagi, perjuangan dan dasar negara perlu berpaksikan kepada naratif perubahan yang lebih menyeluruh demi kesejahteraan rakyat, bukannya terperangkap dalam polemik perkauman yang berpanjangan.

Beliau turut menegaskan, setiap langkah yang diambil perlu selari dengan prinsip Islam serta mendapat pandangan pihak berautoriti termasuk mufti, sambil memastikan kepentingan semua pihak terus dipelihara.

“Negara ini perlu dikembalikan kepada roh dan jiwa yang baik dalam kalangan manusia. Itu yang ingin saya sampaikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast