SEPANG – Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) akan memperluaskan pelaksanaan Projek Rintis Zon Sekolah Selamat ke lebih banyak sekolah di seluruh negara tahun ini bagi meningkatkan keselamatan murid dan pelajar di kawasan berisiko tinggi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek yang kini dilaksanakan di 14 sekolah seluruh negara merupakan langkah penting dalam mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di kawasan sekolah.
“Malaysia mempunyai lebih 10,000 sekolah dengan sebahagian besarnya terletak berhampiran Jalan Persekutuan dan jalan negeri yang sibuk sekali gus mendedahkan pelajar kepada risiko kemalangan terutama ketika waktu masuk dan pulang sekolah.
“Zon Sekolah Selamat melibatkan reka bentuk khas yang memaksa kenderaan memperlahankan kelajuan, termasuk pemasangan bonggol jalan, perabot jalan raya dan pelbagai elemen keselamatan lain.
“Had laju di kawasan ini juga ditetapkan kepada hanya 30 kilometer sejam bagi memastikan keselamatan pelajar lebih terjamin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-62 MKJR di Hotel Sama-Sama KLIA, di sini hari ini.
Anthony berkata, kos pembangunan sebuah Zon Sekolah Selamat dianggarkan antara RM200,000 hingga RM300,000 bagi setiap sekolah, menyebabkan usaha memperluaskan projek memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
“Kita menggalakkan syarikat korporat, pemaju hartanah dan pihak swasta tampil menyumbang bagi menjayakan inisiatif tersebut menerusi konsep sekolah angkat.
“Kalau ada pembangunan perumahan baharu yang mempunyai sekolah berhampiran, pemaju boleh mengambil inisiatif membantu membangunkan Zon Sekolah Selamat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sebuah projek perintis yang telah siap sepenuhnya di Sekolah Kebangsaan Vivekananda, Brickfields, Kuala Lumpur kini menjadi model rujukan untuk pelaksanaan di lokasi lain.
“Kita ada cari satu sekolah perintis di setiap negeri dan akan siap dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















