KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) menegaskan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kepimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak wajar dipertikaikan oleh pihak yang tidak terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan gabungan berkenaan.
Ketua Penerangan DHPP, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, kenyataan Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk Seri Sanjeevan yang mendakwa Abdul Hadi tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi pihak PN menimbulkan persoalan mengenai asas hujah yang digunakan.
Menurutnya, Abdul Hadi bukan sekadar Presiden Pas malah merupakan antara tokoh politik paling berpengalaman di negara ini yang telah melalui pelbagai proses rundingan dan pembentukan landskap politik negara.
“Persoalannya, siapakah beliau untuk menentukan batas kuasa dan peranan seorang pemimpin yang telah memimpin parti, membina gerakan politik serta melalui pelbagai proses rundingan politik jauh lebih lama daripada beliau sendiri berada dalam pentas politik nasional.
“Hadi Awang pernah menjadi Menteri Besar, Ahli Parlimen dan memimpin sebuah parti yang berkembang daripada hanya satu kerusi Parlimen kepada puluhan kerusi pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mereka yang benar-benar terlibat dalam dunia politik memahami bahawa tidak semua keputusan dibuat menerusi sidang media kerana sebahagian besar perkara diputuskan melalui perbincangan, musyawarah dan persefahaman dalam kalangan pimpinan.
Katanya, pihak yang berada di luar proses berkenaan sewajarnya lebih berhati-hati sebelum membuat tuduhan atau membuat kesimpulan yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Politik bukan medan untuk mencari publisiti dengan mempertikaikan individu yang telah terbukti kepimpinannya. Sebaliknya, politik adalah mengenai usaha membina kepercayaan rakyat, mengurus perbezaan secara matang dan menawarkan penyelesaian kepada masalah negara,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya berpijak di bumi nyata dan menghormati proses yang berlaku dalam sesebuah parti serta gabungan politik.
Sebelum ini, Sanjeevan dilaporkan mempersoalkan tindakan Abdul Hadi mengumumkan keputusan berkaitan kepimpinan PN dengan mendakwa perkara itu sepatutnya diputuskan secara konsensus dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan berkenaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















