KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) mengorak langkah strategik dalam agenda kelestarian negara menerusi peluncuran UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint, satu kerangka universiti bagi memacu tindakan bersepadu dalam pemeliharaan alam sekitar, kesejahteraan komuniti dan pembangunan mampan.
Blueprint itu dilancarkan sempena Bulan Sinergi Putra 2026 yang berlangsung sepanjang Jun dengan tema “Dari Kampus ke Impak Nasional dan Global: Sinergi untuk Masa Hadapan Mampan”.
Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, blueprint berkenaan akan menjadi panduan universiti dalam menyelaras inisiatif akademik, penyelidikan, inovasi, operasi kampus dan libat sama komuniti bagi menangani cabaran kesihatan planet serta menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Menurut beliau, UPM sebagai institusi yang berteraskan pertanian dan kelestarian mempunyai tanggungjawab untuk tampil sebagai peneraju penyelesaian terhadap cabaran global.
“Universiti tidak boleh lagi sekadar menjadi menara gading yang melahirkan kertas-kertas kajian akademik semata-mata. UPM perlu bertindak sebagai peneraju, makmal hidup dan penggerak utama kepada penyelesaian krisis global demi keseimbangan kehidupan manusia dan alam.
“Melalui UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint, universiti menyediakan satu kompas pemandu, acuan dasar dan pelan tindakan bersepadu bagi mengemudi seluruh warga kampus ke arah ekosistem mampan yang menjaga kesihatan planet,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan blueprint itu selari dengan hasrat universiti untuk memastikan seluruh ekosistem UPM merangkumi akademik, penyelidikan, jaringan komuniti dan operasi kampus bergerak dalam satu wadah kelestarian yang menyeluruh.
Selain blueprint berkenaan, Bulan Sinergi Putra 2026 turut menyaksikan peluncuran Ringkasan Eksekutif Blueprint Keterjaminan Makanan UPM dalam Bahasa Mandarin serta Pelan Pemacu Kesohoran Global Universiti Putra Malaysia (PUTRA GLOBE) 2026–2035.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman berkata, penganjuran Bulan Sinergi Putra 2026 mencerminkan usaha UPM menterjemahkan pelan strategik kepada tindakan yang memberi manfaat kepada universiti, masyarakat, industri dan negara.
Menurut beliau, institusi pendidikan tinggi perlu berperanan sebagai enjin pertumbuhan negara, pusat rekayasa sosial dan penyelesai masalah komuniti yang dinamik.
“UPM sedang menghantar isyarat jelas kepada industri, komuniti dan kerajaan bahawa segala penemuan, dasar dan inovasi yang lahir daripada kampus ini bersedia untuk diterjemahkan demi kemampanan sejagat,” katanya ketika merasmikan Bulan Sinergi Putra 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM baru-baru ini.
Beliau turut menyifatkan lima fokus utama UPM bagi tahun 2026 iaitu Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kesihatan Planet dan Kelestarian, Kesohoran Global, Kesejahteraan Warga serta Jiwa Putra sebagai selari dengan agenda pembangunan negara.
Sepanjang Bulan Sinergi Putra 2026, pelbagai program dilaksanakan bagi memperkukuh kefahaman warga kampus terhadap hala tuju strategik universiti serta mengukuhkan kolaborasi rentas disiplin, kecemerlangan akademik dan penyelidikan, selain memperluas sumbangan UPM kepada komuniti, industri dan negara. – MalaysiaGazette
















