PETALING JAYA –Laungan ‘Hidup Bersatu, PN dan Abah’ dilaungkan lebih 100 penyokong ketika ketibaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu di sini malam ini.

Mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat parti itu dijangka membincangkan kemelut yang melanda Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.

Muhyiddin tiba kira-kira pukul 8.10 malam dan disambut pimpinan tertinggi serta penyokong parti dengan laungan semangat menyokong Bersatu dan PN.

Turut kelihatan hadir ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mesyuarat MPT malam ini menjadi tumpuan susulan perkembangan terbaharu hubungan antara dua parti utama dalam gabungan pembangkang berkenaan.

Ia apabila Pas pada 13 Jun lalu bertindak memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pusat parti berkenaan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan hubungan politik antara Pas dan Bersatu sudah berakhir.

Beliau turut menyerahkan kepada parti pimpinan Muhyiddin itu untuk menentukan sama ada mahu kekal dalam PN atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam satu kenyataan memaklumkan Bersatu dukacita dengan keputusan Pas itu, namun menegaskan parti berkenaan akan terus kekal berada dalam PN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast