JOHOR BAHRU – Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026 yang dijadualkan berlangsung di Felda Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun ini dibatalkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, kerajaan negeri memohon maaf walaupun keputusan membatalkan program itu bukan berpunca daripada pihak mereka.
“Pihak Felda Negeri Johor telah diarahkan supaya tidak meneruskan penganjuran sambutan itu pada saat akhir.
“Walaupun terpaksa menerima keputusan pembatalan yang dimaklumkan semalam dan hanya berbaki empat hari sebelum tarikh pelaksanaan, komitmen kerajaan negeri Johor untuk terus menghargai, membela dan memperjuangkan kebajikan warga Felda tidak akan pernah terhenti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, segala usaha serta sokongan yang dirancang demi kesejahteraan masyarakat berkenaan akan terus dilaksanakan.
Jelasnya, sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor merupakan acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan warga Felda di negeri ini sebagai wadah menghimpunkan warga Felda Johor dalam suasana penuh muafakat dan kebersamaan.
“Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri Johor bersama-sama pihak Felda telah merancang pelbagai pengisian bagi meraikan dan menghargai jasa serta sumbangan warga peneroka dan generasi yang telah sekian lama menjadi tunjang pembangunan negeri dan negara.
“Antara pengisian utama yang dirancang termasuk penyerahan hak milik kepada seramai 210 peneroka selain pelbagai program pembangunan komuniti, pameran agensi, aktiviti belia dan keluarga serta inisiatif kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada warga Felda,” katanya.
Menurut beliau, sambutan itu juga dirancang sebagai kemuncak kepada pelbagai usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor untuk masyarakat Felda sepanjang tahun.
Katanya, ini termasuk bantuan kebajikan, Bantuan Kasih Johor, Bakul Kasih Johor, pembangunan infrastruktur, pemberian lot generasi kedua, geran pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW) serta pelbagai bentuk sokongan lain yang dilaksanakan secara berterusan.
“Secara keseluruhannya, lebih RM35 juta sudah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Johor kepada warga Felda bagi tempoh 2022 hingga Jun 2026.
“Sebagai persediaan menjayakan program ini, Kerajaan Negeri Johor sebelum ini telah meluluskan peruntukan kepada pihak Felda bagi menjayakan sambutan berkenaan, serta melaksanakan pelbagai persiapan dan penyelarasan dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak Felda dan jawatankuasa di peringkat rancangan,” katanya.
Zahari berkata, lebih 5,000 warga Felda daripada 73 rancangan Felda seluruh negeri ini audah mengesahkan kehadiran mereka bagi menjayakan sambutan ini.
“Kerajaan Negeri Johor ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan serta kepada seluruh warga Felda yang telah memberikan komitmen dan sokongan terhadap sambutan ini.
“Saya ingin menegaskan bahawa warga Felda akan sentiasa menjadi sebahagian penting daripada keluarga besar Bangsa Johor yang terus diberikan perhatian dan keutamaan,” katanya.- MalaysiaGazette
















