KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 buah motosikal disita dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Langkawi di beberapa lokasi tumpuan sekitar pulau ini awal pagi semalam.
Operasi yang bermula seawal jam 6 pagi itu dilaksanakan bagi mengesan pelbagai pelanggaran undang-undang jalan raya dalam kalangan pemandu warga asing.
JPJ Langkawi dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua motosikal terbabit melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959.
“Sebanyak 16 buah motosikal telah disita dan dibawa ke Depoh Tahanan Kenderaan Sita JPJ Cawangan Langkawi untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPJ, operasi berkenaan merupakan antara usaha berterusan jabatan itu bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
JPJ Langkawi turut menegaskan bahawa operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membendung pelanggaran undang-undang jalan raya, khususnya melibatkan pemandu warga asing.
Langkah tersebut juga bertujuan memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya di Pulau Langkawi sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette
















