KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berpandangan adalah lebih wajar untuk Pas membentuk gabungan baharu, menggunakan logo dan jenamanya sendiri.
Sementara itu, katanya, Bersatu kekal dengan Perikatan Nasional (PN) bersama parti-parti lain dan parti-parti di dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
Lebih-lebih lagi, ujarnya, kerana Pas adalah parti yang besar, mempunyai lebih banyak sumber kewangan serta ramai ahli dan jentera.
“Sebab itu, sejak awal lagi saya berpandangan daripada terus menerus cuba memaksakan kehendak Pas yang menjejaskan semangat setiakawan, permuafakatan dan kepentingan PN, lebih wajar Pas bergerak solo, atau membentuk Muafakat Nasional bersama UMNO seperti yang sering diulang-ulangkan oleh pemimpinnya, atau membentuk parti gabungan baru bersama parti Wawasan (yang masih belum diluluskan namanya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS)),” katanya dalam satu kenyataan.
Menjelaskan lebih lanjut, Tun Faisal mendakwa, Pas tidak komited dengan jenama PN selepas terlibat dalam rundingan yang membelakangkan PN seperti Langkah Bangko.
Dakwanya lagi, Pas juga seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sudah beberapa kali bertemu secara sulit dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa pengetahuan Bersatu.
Di Kelantan dan Terengganu juga, tambah beliau, Pas tidak ada ‘brand loyalty‘ terhadap PN dengan menggunakan logo Pas, begitu juga di Johor, apabila Pesuruhjaya Pas Johor baru-baru ini mengumumkan mahu bertanding menggunakan logo sendiri.
Dakwanya, tindakan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu pada saat PN bakal berhadapan PRN Johor dan Melaka adalah bertentangan dengan kepentingan PN.
Kata beliau, tindakan memutuskan hubungan dengan salah satu parti teras dan salah satu parti Melayu-Islam terbesar dalam PN dan mengutamakan parti yang namanya masih belum dinamakan dan bukan anggota PN adalah bertentangan dengan kepentingan PN.
Malah, ujarnya, kelewatan bertindak Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam mempersiapkan PN bagi memasuki PRN Johor dan Negeri Sembilan juga adalah tindakan yang bertentangan kepentingan PN.
“Jika benar khabar-khabar angin bahawa Pas telah ada rundingan dengan UMNO, dan bahawa Pas tidak akan bertanding dalam PRN Johor dan akan ditawarkan kerusi ADUN lantikan selepas PRN Johor, maka bukankah lebih baik dan lebih wajar Pas secara sukarela meninggalkan PN dan bersama dengan UMNO dalam MN?
“Jika khabar-khabar angin ini benar, tidak wajar untuk Pas terus mempengerusikan PN. Bukankah itu lebih baik daripada Pas dilihat cuba mensabotaj Bersatu, PN dan parti-parti lain yang mahu bersama PN?” katanya. – MalaysiaGazette
















