Bekas Ketua Polis Negara merangkap Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berucap ketika merasmikan Majlis Pelancaran MCCC Selangor di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, malam pada Khamis.

PETALING JAYA – Semua parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang digesa mengamalkan kempen secara matang dan berhemah demi menjaga keharmonian masyarakat serta kestabilan negara sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, parti-parti politik seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki kehidupan rakyat dan memperkukuhkan ekonomi negara.

“Ahli politik perlu menawarkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi masyarakat, bukannya terlibat dalam budaya serangan peribadi atau penghinaan terhadap pihak lawan.

“Biarlah kedua-dua pihak menjalankan kempen dengan betul. Tidak perlu kita hina-menghina antara satu sama lain.

“Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan memperbaiki keadaan negara,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, semalam.

Beliau berkata, rakyat kini lebih memerlukan pemimpin yang mampu membawa idea, dasar dan penyelesaian yang boleh meningkatkan taraf hidup mereka berbanding retorik politik yang hanya mencetuskan ketegangan.

“Isu-isu yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan mencetuskan perbalahan politik perlu dielakkan kerana ia berpotensi mengundang kesan negatif terhadap perpaduan nasional.

“Yang penting adalah usaha memperbaiki ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Tidak perlu kita bercakap mengenai perkara yang boleh mendatangkan kerumitan dalam hubungan antara kaum ataupun sesama ahli politik,” katanya lagi.

Menurut Musa, kematangan berpolitik perlu menjadi asas kepada setiap kempen pilihan raya agar persaingan yang berlaku dapat berlangsung dalam suasana sihat, beretika dan menghormati perbezaan pandangan.

“Keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia merupakan aset penting yang perlu dipelihara oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang politik,” katanya.

Katanya, fokus terhadap pembangunan negara, pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat akan lebih membantu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses demokrasi berbanding polemik yang berpanjangan.

“Rakyat mahu melihat siapa yang mampu bekerja dan memberi hasil kepada negara, bukannya siapa yang paling kuat menyerang lawan politik,” ujarnya.

Ketika ditanya tentang tindakan yang sesuai terhadap pihak menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R), Musa menegaskan penghinaan terhadap institusi diraja dan sentimen perkauman boleh menggugat keharmonian masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana.

“Kita mempunyai undang-undang yang mencukupi. Apa yang penting ialah tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mudah melabel pihak yang memberi reaksi terhadap sesuatu provokasi sebagai bersikap perkauman atau ekstrem.

“Setiap pihak perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan agama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast