Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) digesa memberikan penjelasan terperinci berhubung cadangan pelaksanaan cukai jalan berdasarkan lokasi utama penggunaan kenderaan.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat (G7), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kerajaan perlu menjelaskan implikasi cadangan tersebut terhadap rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja, melanjutkan pengajian atau menetap di Semenanjung Malaysia tetapi masih menggunakan kenderaan didaftarkan secara sah di negeri masing-masing.

“Walaupun kerajaan mempunyai alasan untuk menangani penyalahgunaan pendaftaran kenderaan bagi mendapatkan kadar cukai jalan lebih rendah, ia tidak boleh mengabaikan hak serta kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Rakyat Sabah dan Sarawak adalah warganegara Malaysia yang mempunyai hak sama untuk bekerja, belajar dan menetap di mana-mana bahagian negara. Sebarang dasar baharu tidak seharusnya membebankan mereka.

“Kerajaan perlu menjelaskan sama ada anak Sabah dan Sarawak yang bekerja atau belajar di Semenanjung akan dikenakan kadar cukai jalan lebih tinggi walaupun kenderaan mereka didaftarkan secara sah di negeri asal masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, MOT bakal membuat rombakan besar terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dijangka dibentangkan di Parlimen, Isnin ini.

Antara rombakan yang dibuat termasuk mengetatkan kaedah pengeluaran Lesen Kenderaan Motor (LKM atau lebih dikenali sebagai cukai jalan) berdasarkan lokasi.

Zulkarnain juga berkata, kerajaan perlu memastikan golongan yang menggunakan pendaftaran kenderaan secara sah tidak menjadi mangsa kepada pelaksanaan dasar tersebut.

“Kerajaan perlu memberi jaminan golongan ini tidak akan menjadi mangsa kepada pelaksanaan dasar baharu yang bertujuan menangani penyalahgunaan oleh pihak tertentu.

“Mereka tidak seharusnya dihukum hanya kerana mencari rezeki atau melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Zulkarnain turut menggesa MOT melaksanakan sesi penerangan dan libat urus bersama kerajaan negeri, pertubuhan masyarakat serta rakyat Sabah dan Sarawak sebelum sebarang pindaan undang-undang dibentangkan di Parlimen.

“Pendekatan konsultatif amat penting bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira realiti kehidupan rakyat.

“Kerajaan perlu memastikan ia tidak menimbulkan persepsi hak rakyat Sabah dan Sarawak sedang diketepikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast