KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang wanita yang didakwa menjadi mangsa penculikan oleh individu tidak dikenali yang meminta wang tebusan sebanyak RM18,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, penahanan itu dibuat selepas polis berjaya menyelamatkannya dalam serbuan Ops Scorpion pada jam 3.30 petang di Taman Perniagaan Setia di sini, petang semalam.
Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun turut ditahan.
Menurutnya, Ops Scorpion digerakkan selepas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak selepas menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 43 tahun pada 19 Jun lalu.
Menurutnya, pengadu mendakwa anak perempuannya telah diculik oleh individu tidak dikenali yang menuntut wang tebusan sebanyak RM18,000.
“Susulan laporan itu, satu Pasukan Khas yang terdiri daripada JSJ Bukit Aman dengan bantuan JSJ IPK Johor dan JSJ IPK Sarawak ditubuhkan bagi melaksanakan operasi menyelamat bermula 19 hingga 20 Jun, dengan tumpuan di sekitar bandar raya Johor Bahru, lokasi terakhir mangsa dikesan.
“Hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, pasukan berjaya menyelamatkan mangsa pada 20 Jun di sebuah rumah dan menahan seorang lelaki tempatan di lokasi sama,” katanya dalam kenyataan.
Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod tangkapan lampau membabitkan dua kes dadah dan satu kes jenayah.
Polis turut merampas empat unit telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk mendapatkan wang tebusan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Bagaimanapun, siasatan awal mendapati naratif penculikan yang diberikan oleh mangsa menimbulkan keraguan, menyebabkan wanita berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Permohonan reman terhadap kedua-dua individu dijadual dibuat esok mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.
Kumar berkata, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu siasatan serta mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette
















