JOHOR BAHRU – Skim Pengembara yang diumumkan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Pekerja lalu dijangka dilaksana selepas memperoleh kelulusan Parlimen.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, sejurus dilantik menerajui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), pihaknya mengarahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan kementerian berkenaan menyiapkan segala dokumentasi serta proses berkaitan bagi membolehkan skim itu dibawa untuk pertimbangan mesyuarat jemaah menteri.
“Selepas memperoleh kelulusan Jemaah Menteri dan susulan pengumuman rasmi oleh Perdana Menteri, kertas cadangan berhubung skim berkenaan akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang bermula Isnin ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival Lindung Kerjaya MADANI 2026 di Setia Convention Hall, Setia Tropika, di sini hari ini.
Katanya, sebelum pembentangan dibuat, kementerian akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama ahli-ahli Parlimen bagi menerangkan manfaat serta kepentingan pelaksanaan skim tersebut kepada golongan pekerja yang terlibat.
Beliau menjelaskan, sebaik sahaja rang undang-undang atau kertas berkaitan mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, skim berkenaan akan dilaksanakan secepat mungkin tanpa sebarang kelewatan.
Tambahnya, Perkeso kini berada dalam keadaan bersedia untuk mengaktifkan skim itu sejurus semua proses perundangan diselesaikan dan kelulusan diperoleh daripada kedua-dua dewan rakyat dan negara
Ramanan berkata, skim tersebut bertujuan menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja antara Johor dan Singapura, sekali gus memperkukuh jaringan perlindungan kebajikan pekerja rentas sempadan.
Beliau menjangkakan keseluruhan proses berkaitan dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Ogos depan sebelum skim berkenaan dilaksanakan sepenuhnya.- MalaysiaGazette
















