Mohammad Bagher Ghalibaf

TEHRAN – Ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) supaya “berhati-hati” dalam mengeluarkan ancaman terhadap republik Islam itu, sambil menegaskan angkatan tenteranya bersedia untuk bertindak balas.

Beliau berkata, ancaman daripada AS tidak akan mengubah pendirian Iran dan menyifatkan ugutan negara itu sebagai tidak memberi kesan kepada negaranya.

“Tidakkah mereka berfikir bahawa jika ancaman mereka benar-benar berkesan, mereka tidak akan berada dalam keadaan terdesak seperti hari ini? Kami tidak mengambil kira ancaman Amerika,” katanya pada Ahad.

Menurut Ghalibaf, AS sepatutnya lebih berhati-hati dengan kenyataan yang dikeluarkan kerana angkatan bersenjata Iran bersedia memberikan respons yang sewajarnya.

“Mereka boleh berkata apa sahaja, tetapi kamilah yang akan bertindak,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump, mengancam untuk melancarkan serangan ke atas Iran susulan dakwaan sokongannya terhadap kumpulan Hezbollah di Lubnan.

Menerusi platform Truth Social, Trump menggesa Iran menghentikan segera tindakan proksi yang disokongnya di Lubnan daripada terus mencetuskan ketegangan.

Beliau turut memberi amaran bahawa jika keadaan itu berterusan, AS akan menyerang Iran sekali lagi dengan tindakan yang lebih keras berbanding minggu lalu.

Konflik antara Israel dan Hezbollah yang tercetus selepas kumpulan disokong Tehran itu menyerang Israel sebagai tanda sokongan kepada Iran dalam perang serantau telah beberapa kali mengancam usaha damai.

Bagaimanapun, menjelang malam Ahad, tiada laporan mengenai serangan baharu Israel atau pertempuran berterusan dilaporkan.

Kenyataan Ghalibaf dibuat ketika wakil AS dan Iran mengadakan rundingan di Switzerland dengan pengantaraan Pakistan dan Qatar, selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian awal minggu ini bagi menamatkan konflik antara mereka.

Agensi berita Fars melaporkan ancaman yang dibuat Trump menyebabkan rundingan tersebut digantung, namun dakwaan itu belum disahkan secara rasmi oleh mana-mana pihak.

Memorandum persefahaman yang ditandatangani Iran dan AS sebelum ini turut menetapkan bahawa kedua-dua negara berjanji untuk tidak mengancam atau menggunakan kekerasan antara satu sama lain. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast