Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen pada Ahad, Qassem menegaskan kehadiran tentera Israel di wilayah Lubnan tidak boleh diterima sama sekali.
“Kekalnya tentera Israel di bumi Lubnan adalah mustahil. Tiada zon keselamatan untuk Israel. Kami mempunyai tentera kebangsaan yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara dan dengan mereka kami bekerjasama,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Israel sebagai penceroboh yang perlu berundur dari Lubnan serta mendakwa Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap situasi tersebut.
“Israel tidak akan kekal di Lubnan walaupun ia meningkatkan jenayahnya, dan kami akan mempertahankan diri,” katanya.
Ketika ini, tentera Israel yang memasuki selatan Lubnan sejak perang meletus pada 2 Mac masih beroperasi dalam kawasan yang digelar sebagai “zon keselamatan” kira-kira 12 kilometer di dalam wilayah Lubnan berhampiran sempadan.
Netanyahu pada Ahad menegaskan tenteranya akan terus berada di zon tersebut selama yang diperlukan bagi melindungi penduduk utara Israel dan keselamatan negara itu.
Menteri Pertahanan Israel turut memaklumkan bahawa tenteranya mempunyai arahan tetap untuk bertindak terhadap sebarang ancaman yang dikesan di dalam Lubnan.
Kenyataan Qassem dibuat ketika wakil Washington dan Tehran mengadakan rundingan di Switzerland selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian awal minggu ini bagi menamatkan konflik lebih luas di Asia Barat, termasuk menghentikan permusuhan di Lubnan.
Bagaimanapun, siri serangan Israel sejak beberapa hari lalu dilihat mengancam perjanjian tersebut, walaupun pertempuran di Lubnan dilaporkan reda sejak Sabtu malam selepas Iran sekali lagi menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan Israel.
Qassem berkata, Hezbollah komited terhadap sebarang gencatan senjata menyeluruh, namun tidak akan menerima sebarang pelanggaran terhadap perjanjian itu.
“Kami akan berdepan dengan setiap pelanggaran dan menanganinya mengikut cara yang kami fikir sesuai,” katanya.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa Lubnan memanfaatkan laluan diplomatik yang wujud serta menggesa negara itu memperkukuh hubungannya dengan Iran.
“Lihatlah Iran yang sanggup menutup Selat Hormuz demi Lubnan. Itu adalah senjata yang berada di tangan anda. Gunakanlah ia,” katanya.
Di bawah tekanan AS, Lubnan pada April lalu memulakan rundingan langsung dengan Israel di Washington bagi menamatkan permusuhan dan memisahkan konflik Israel-Hezbollah daripada perang serantau yang lebih besar.
Namun, Hezbollah secara konsisten menolak rundingan langsung tersebut, dengan pusingan kelima perbincangan dijadual berlangsung minggu depan. – Agensi
















