KUALA LUMPUR – Program Ride Mahabbah 2.0 anjuran Surau An-Nur Taman Kantan Permai, Kajang berjaya menghimpunkan seramai 60 peserta bermotosikal bagi menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada Pondok Tahfiz Haji Ahmad di Kampung Dala, Lanchang, Pahang.
Konvoi turut menyantuni para pelajar tahfiz dalam usaha memperkukuh ukhuwah dan semangat kebajikan masyarakat.
Program yang diketuai Pengarah Program, Muhammad Razeen Faishol melibatkan konvoi motosikal pelbagai kapasiti enjin (cc) dari Surau An-Nur Taman Kantan Permai menuju ke pondok tahfiz berkenaan.

Menurut Muhammad Razeen, sumbangan berjumlah RM3,000 itu merupakan hasil kutipan dan sokongan daripada kariah Surau An-Nur Taman Kantan Permai bagi membantu keperluan institusi tahfiz serta memberi sokongan moral kepada para pelajarnya.
Selain penyerahan sumbangan, peserta turut berpeluang beramah mesra dan menyantuni pelajar-pelajar Pondok Tahfiz Haji Ahmad menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang program tersebut.
Dalam pada itu, rombongan turut mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Konservasi Kuala Gandah sebagai pengisian ilmiah kepada peserta.
Lawatan tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan flora dan fauna, di samping memupuk rasa tanggungjawab terhadap usaha konservasi alam sekitar demi manfaat generasi akan datang.
Penganjuran Ride Mahabbah 2.0 dilihat bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti, malah menyemarakkan budaya kebajikan, pendidikan dan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar. – MalaysiaGazette
















