GEORGE TOWN – Lima individu menerima rawatan selepas terdedah kepada tumpahan kira-kira 500 mililiter (ml) merkuri daripada sebuah bungkusan kurier yang pecah di sebuah premis di Jalan Terengganu, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 1.03 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak tiba di lokasi enam minit kemudian.
Menurutnya, insiden itu melibatkan tumpahan merkuri dianggarkan sebanyak 500 ml yang berpunca daripada satu barangan pos milik sebuah syarikat kurier yang pecah ketika proses pengasingan.
“Terdapat lima mangsa berusia antara 20 hingga 45 tahun termasuk dua lelaki warga Myanmar, namun kesemua mereka dilaporkan selamat.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bersama peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap menjalankan kerja-kerja nyahcemar merkuri menggunakan serbuk sulfur dan peluntur,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, bacaan pH di kawasan terlibat turut diambil bagi memastikan persekitaran berada dalam keadaan selamat.
“Semua mangsa diberikan rawatan awal oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.06 petang. – MalaysiaGazette
















