Yulia didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mendedahkan budak satu tahun dengan kecederaan fizikal.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak perempuan berusia satu tahun ketika kejadian kepada kecederaan fizikal, tahun lalu.

Tertuduh, Yulia Arnida, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Zainol.

Mengikut kertas pertuduhan, pembantu rumah itu dituduh mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada kecederaan fizikal dengan cara menarik rambut mangsa sehingga kepala mangsa terangkat serta menarik tangan kanan mangsa dengan kasar sehingga menyebabkan kesan lebam.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ledang, Taman Johor, di sini pada waktu petang pada 21 Disember tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) Akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Manushri yang turut memohon jaminan tinggi berjumlah RM20,000 terhadap tertuduh berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam, Jason Tan Ka Yan bagaimanapun memohon jaminan yang minima memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan dua anak berusia tujuh dan lapan tahun yang masih bersekolah di Bandar Acheh, Indonesia selain ibu bapa yang uzur.

Bagaimanapun, Hakim memutuskan tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh setelah peguam memaklumkan anak guamnya tidak dapat mematuhi salah satu syarat dikenakan kerana pasport milik tertuduh berada di tangan pihak ketiga.

Mahkamah turut memerintahkan wanita warga Indonesia itu ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Kluang sehingga pihak peguam mendapatkan dokumen perjalanan sementara buat tertuduh daripada kerajaan Indonesia.

Kes akan disebut semula pada 29 Jun ini untuk serahan dokumen.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast