JOHOR BAHRU –Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 42 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen selepas melakukan serbuan di tiga buah restoran sekitar daerah ini pada Jumaat lalu.
Ops Selera tersebut dilaksanakan melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor di lokasi berbeza bermula pukul 4 petang.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki dewasa warganegara Myanmar dan 14 wanita Myanmar yang bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak dan berusia antara 19 tahun hingga 49 tahun.
“Turut ditahan dua warga tempatan yang dipercayai bekerja sebagai pengurus premis.
“JIM bertindak atas maklumat awam dan risikan, restoran itu dipercayai melindungi dan menggajikan pekerja warga asing secara haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menumpukan pemeriksaan dokumen pengenalan diri, permit kerja warga asing yang melanggar syarat pas.
Katanya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Warga asing berkenaan ujarnya, ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JIM Johor menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana warga asing yang melanggar syarat pas atau tinggal di negara ini secara haram, termasuk majikan dan pihak yang didapati melindungi, menggaji atau bersuhabat dengan pendatang asing tanpa izin (PATI). – Malaysiagazette
















