Reaksi pasukan Thailand yang membantah keputusan pengadil ketika menentang pasukan Malaysia dalam acara Regu Berkumpulan peringkat akhir yang berkesudahan skuad negara berjaya menjuarai dengan mata 2-1 pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) telah memulakan prosiding disiplin terhadap lima pemain, dua jurulatih dan seorang Pengurus Pasukan Sepaktakraw Kebangsaan Thailand berikutan insiden yang berlaku semasa perlawanan akhir TM ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur 2026, pada 24 Mei lalu.

Keputusan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin ISTAF dalam mesyuaratnya pada 19 Jun lalu setelah meneliti maklumat serta laporan yang dikemukakan berhubung insiden tersebut.

Prosiding itu berkaitan dakwaan bahawa anggota Regu Ketiga Thailand enggan meneruskan Perlawanan Akhir walaupun telah diarahkan berbuat demikian oleh Pegawai Perlawanan selaras dengan Undang-Undang Permainan dan Peraturan Pertandingan.

Prosiding itu juga merangkumi dakwaan penglibatan dua jurulatih dan Pengurus Pasukan berhubung peranan mereka dalam insiden tersebut.

Responden yang terlibat ialah pemain terdiri daripada Wichan Temkort; Jakkrit Thinbangbon; Phutawan Sopa; Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart.

Sementara itu, Pegawai Pasukan pula terdiri daripada dua Jurulatih serta Pengurus Pasukan Kebangsaan Thailand.

Notis Prosiding Disiplin dan pertuduhan masing-masing telah disampaikan secara rasmi melalui Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT).

Setiap responden diberikan tempoh empat belas (14) hari daripada tarikh penerimaan notis untuk mengemukakan jawapan bertulis sebelum kes tersebut diteruskan ke peringkat pendengaran disiplin.

Sementara menunggu keputusan muktamad prosiding disiplin, Jawatankuasa Disiplin ISTAF telah mengeluarkan Arahan Interim bahawa kesemua responden tidak dibenarkan menyertai, mengadili, melatih, mengurus atau terlibat dalam apa-apa pertandingan, kejohanan, acara atau aktiviti rasmi sepaktakraw yang mendapat pengiktirafan ISTAF sehingga prosiding disiplin ini selesai atau sehingga arahan baharu dikeluarkan oleh Jawatankuasa.

Ini termasuk larangan untuk menyertai sebagai pemain, bertindak sebagai jurulatih, pengurus pasukan, pegawai atau dalam apa jua kapasiti yang berkaitan dengan mana-mana pasukan atau aktiviti sepaktakraw di bawah bidang kuasa ISTAF sepanjang tempoh prosiding disiplin ini berlangsung.

Arahan interim ini merupakan langkah pentadbiran yang bersifat pencegahan bagi memastikan integriti proses disiplin serta kelancaran pengurusan pertandingan ISTAF terus terpelihara.

Ia bukan merupakan hukuman disiplin dan tidak boleh ditafsirkan sebagai dapatan bahawa mana-mana responden telah bersalah.

Kesemua responden akan diberikan peluang sepenuhnya untuk membela diri di hadapan Jawatankuasa Disiplin ISTAF selaras dengan Peraturan Disiplin ISTAF serta prinsip keadilan asasi (natural justice).

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, sepak takraw dibina atas nilai hormat, disiplin, semangat kesukanan dan integriti.

Ujarnya, setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang menyertai pertandingan anjuran ISTAF mempunyai tanggungjawab untuk menjunjung nilai-nilai ini serta menghormati kuasa Pegawai Perlawanan dan Peraturan Pertandingan.

“Permulaan prosiding disiplin ini mencerminkan komitmen ISTAF untuk melindungi integriti pertandingan yang dianjurkannya sambil memastikan setiap responden menerima perbicaraan yang adil dan tidak berat sebelah selaras dengan Peraturan Disiplin kami,” katanya dalam satu kenyataan.

ISTAF kekal komited untuk memastikan semua pertandingan di bawah bidang kuasanya dikendalikan mengikut piawaian profesionalisme, semangat kesukanan dan tadbir urus yang tertinggi.

Sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan integriti pertandingan atau reputasi sukan ini akan ditangani menerusi kerangka disiplin yang telah ditetapkan secara adil, telus dan berlandaskan prinsip due process.

Memandangkan prosiding disiplin masih berjalan, ISTAF tidak akan mengulas lanjut mengenai merit kes ini sehingga proses disiplin tersebut selesai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast