Gambar hiasan

JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia merampas 8.6 liter cecair disyaki dadah jenis “etomidate” yang dianggarkan bernilai Rp97.8 bilion (RM22.7 juta) serta menahan empat warga asing yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah antarabangsa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, di sini.

Ketua Polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Pesuruhjaya Kanan Wisnu Wardana berkata rampasan itu dilakukan menerusi tiga kes berasingan yang dibongkar antara Februari hingga Mei tahun ini, melibatkan suspek dari China, Malaysia, Singapura dan Thailand.

“Kejayaan membongkar ketiga-tiga kes ini berpotensi menyelamatkan kira-kira 55,928 orang daripada penyalahgunaan narkotik,” katanya menurut agensi berita Antara pada Isnin.

Wisnu berkata kes-kes berkenaan jelas menunjukkan bahawa Lapangan Terbang Soekarno-Hatta terus menjadi sasaran sindiket rentas sempadan untuk menyeludup masuk “etomidate” ke Indonesia.

Sementara itu, Ketua Unit Narkotik Polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Michael Kharisma Tandayu berkata rampasan terbesar melibatkan seorang warga Thailand apabila polis menemukan kira-kira 4.1 liter cecair disyaki “etomidate” daripada suspek.

Dalam kes berasingan, beliau berkata polis turut menahan seorang warga Singapura dan seorang warga Malaysia yang melakukan perjalanan bersama dari Malaysia, serta seorang warga China yang tiba dari Thailand.

Menurut polis, siasatan ke atas ketiga-tiga kes itu mendapati keempat-empat suspek, yang dipercayai bertindak sebagai keldai dadah, menerima arahan daripada tiga individu  yang kini berada dalam senarai orang dikehendaki pihak berkuasa Indonesia.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast