Tangkap layar video tular seorang lelaki yang didakwa memukul bekas isterinya di wanita di parkir awam di luar Balai Polis Bandar Baru Bangi, Kajang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 20-an akan direman di Mahkamah Bandar Baru Bangi esok, bagi membantu siasatan kejadian memukul seorang wanita di parkir awam di luar Balai Polis Bandar Baru Bangi, Kajang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki berusia 20-an berkenaan yang bekerja sebagai pemandu e-hailing yang juga bekas suami kepada mangsa ditahan kira-kira pukul 6.20 petang tadi.

Terdahulu, menurut beliau, polis menerima laporan kejadian itu yang turut tular di media sosial pukul 2.51 petang semalam.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan cedera dengan sengaja dan ugutan mendatangkan ketakutan.

“Kesalahan bagi Seksyen 323 Kanun Keseksaan, memperuntukkan penjara sehingga setahun, atau didenda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabitkan kesalahan.

“Bagi kesalahan 506 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyaatan hari ini.

Sementara itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Afiq Rifdi Mohd Ami di talian 01129667474 bagi membantu siasatan.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast