Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Penganjuran World Labour Day Celebration Rainwater Music Festival 2026 sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 berjaya mencatat impak ekonomi keseluruhan sebanyak RM392.33 juta selain menarik kehadiran kira-kira 415,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, acara itu dilaksanakan menerusi kerjasama kerajaan dengan sektor swasta bagi merancakkan industri pelancongan negara.

“Festival utama yang berlangsung di Kuala Lumpur berjaya menarik sekitar 150,000 pengunjung domestik, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Malah acara ini berjaya menarik 100,000 pelancong antarabangsa dari China, Jepun, India, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan beberapa negara lain,” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Young Syefura Othman (PH-Bentong) meminta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menjelaskan sejauhmana penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 menyumbang kepada pengukuhan pelancongan berasaskan acara meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa serta mengekalkan keseimbangan antara elemen antarabangsa dan penghayatan budaya tempatan.

Selain Kuala Lumpur, jelas King Sing, program itu diperluaskan ke beberapa negeri termasuk Terengganu, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Johor dan Langkawi yang secara keseluruhannya menarik kira-kira 165,000 pengunjung lagi.

“Hasil penganjuran festival utama di Kuala Lumpur dianggarkan menjana pulangan ekonomi sebanyak RM320.43 juta, manakala program di negeri-negeri lain menyumbang RM71.9 juta kepada ekonomi tempatan.

“Secara keseluruhan, festival ini berjaya menjana RM392.33 juta kepada ekonomi negara dengan kehadiran kira-kira 415,000 pengunjung,” jelasnya.

Menurut King Sing, festival itu melibatkan kos penganjuran sebanyak RM15 juta, di mana RM11 juta dibiayai kerajaan, manakala RM4 juta lagi disumbangkan pihak swasta.

“Berdasarkan penilaian kementerian, setiap RM1 yang dibelanjakan kerajaan bagi menjayakan festival itu dianggarkan menghasilkan pulangan ekonomi sekitar RM36,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan memilih untuk mengekalkan kemasukan percuma kepada orang ramai walaupun acara itu berpotensi menjana puluhan juta ringgit menerusi jualan tiket.

“Sekiranya tiket dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM300 seorang, hasil yang boleh diperoleh dianggarkan mencecah antara RM50 juta hingga RM75 juta.

“Kerajaan memilih untuk memberikan kemasukan percuma sebagai penghargaan kepada golongan pekerja sempena sambutan Hari Pekerja selain memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati acara bertaraf antarabangsa ini,” katanya.

Dalam pada itu, kata King Sing, penganjuran festival itu turut memberi limpahan ekonomi kepada sektor peruncitan, perhotelan dan perusahaan kecil.

“Sebanyak 80 hotel di seluruh negara menawarkan diskaun antara 30 hingga 50 peratus sempena festival berkenaan dan kebanyakannya merekodkan kadar penghunian hampir 100 peratus.

“Pusat beli-belah utama di ibu negara juga menerima manfaat apabila Lot 10 merekodkan peningkatan pengunjung sebanyak 40 peratus dan lonjakan jualan hampir 45 peratus, manakala Sungei Wang Plaza mencatat pertumbuhan pengunjung sehingga 31.3 peratus.

Tambah beliau, seramai 63 peniaga makanan dan 15 pengusaha kraftangan dari pelbagai negeri turut mengambil bahagian dengan jumlah jualan langsung mencecah RM388,690.

“Malah seorang penjaja makanan dari Kelantan dilaporkan berjaya memperoleh jualan sehingga RM10,000 sehari sepanjang festival berlangsung berbanding purata pendapatan sekitar RM200 sehari di negeri asalnya,” katanya.

Selain impak ekonomi, katanya, festival itu turut menjadi platform promosi antarabangsa yang berkesan apabila disertai 41 wakil media antarabangsa.

“Ia menghasilkan hampir 10,000 liputan media serta kandungan digital dengan nilai publisiti dianggarkan RM77.5 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast