Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dijangka memuktamadkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan pada Khamis ini, selepas rundingan awal menunjukkan lebih separuh kerusi di Johor berjaya diselesaikan tanpa pertindihan.

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, rundingan pertama yang berlangsung hari ini berjalan lancar dengan parti-parti komponen gabungan itu membentangkan senarai kerusi yang menjadi sasaran masing-masing.

“Kita sasar Khamis selesai rundingan kerusi DUN Johor bagi PN. Lepas mesyuarat kita akan panggil mesyuarat induk,” katanya selepas menghadiri mesyuarat rundingan kerusi PN di ibu pejabat Pas, hari ini.

Menurut beliau, sebahagian besar isu pembahagian kerusi telah mencapai persetujuan, manakala rundingan bagi kerusi yang masih bertindih akan diteruskan pada sesi berikutnya.

“Tadi kita duduk dan masing-masing telah membentangkan wishlist (senarai tuntutan) parti masing-masing. Kita sudah bandingkan nota dan setakat ini, beberapa kerusi yang tidak bertindih itu sudah beres (selesai).

“Manakala bagi kerusi yang ada pertindihan, kita setuju untuk sambung rundingan esok pagi,” katanya.

Annuar turut menolak spekulasi bahawa PN tidak akan menyertai PRN Johor, sebaliknya mengesahkan gabungan itu akan menurunkan calon bagi merebut kerusi di negeri berkenaan.

“Masuk bertanding (PRN Johor), sebab itu kita berunding. Kalau tidak masuk bertanding, lebih baik duduk di rumah sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai penggunaan logo PN pada kedua-dua PRN berkenaan, beliau berkata perkara itu belum diputuskan dan akan dibincangkan dalam rundingan seterusnya.

“Itu (isu logo) kita simpan untuk esok. Kebanyakan perkara sudah selesai. Kalau masing-masing mahu pakai logo sendiri, tidak perlulah kita buat rundingan,” katanya.

Mesyuarat rundingan itu turut dihadiri Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Presiden MIPP, S Punithan; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast