Wilfred merakamkan gambar bersama wakil dari UMS dan penduduk kampung.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Kelab PEMADAM terus memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran program Preventing Against Drug Abuse Movement (PADAM) di Kampung Suromboton, Tenghilan baru-baru ini.

Program berkenaan berjaya menghimpunkan penduduk setempat dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta kepentingan langkah pencegahan awal bagi membentuk komuniti yang lebih sihat dan sejahtera.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, program tersebut berperanan sebagai platform pendidikan komuniti yang memberi pendedahan mengenai kesan negatif penyalahgunaan dadah terhadap individu, institusi keluarga dan kesejahteraan sosial.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti yang dianjurkan bukan sahaja meningkatkan pengetahuan peserta mengenai ancaman dadah, malah berjaya mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program.

“Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan bukan sahaja berjaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peserta mengenai bahaya dadah, malah turut mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat.

“Institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting bukan sahaja dalam melahirkan graduan berkualiti, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan komuniti melalui pelaksanaan program berimpak tinggi,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Beliau berkata, penyalahgunaan dadah merupakan cabaran sosial yang perlu ditangani secara kolektif oleh semua pihak termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan dan masyarakat.

“Usaha pencegahan melalui pendidikan, peningkatan kesedaran dan penglibatan komuniti perlu terus diperkasakan bagi membentuk masyarakat yang lebih sihat, selamat dan berdaya tahan,” katanya.

Wilfred Madius turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara universiti dan masyarakat melalui program seperti PADAM perlu diteruskan bagi melahirkan komuniti yang lebih prihatin serta bebas daripada pengaruh dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast