KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan lima parti komponennya termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ini selepas Pengerusi, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menandatangani watikah pelantikan calon-calon gabungan tersebut, malam tadi.
Perkembangan itu sekali gus mengesahkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) tidak akan bertanding atas tiket PN pada PRN Johor meskipun sebelum ini ia dilaporkan berusaha usaha menyertai gabungan tersebut.
Menerusi hantaran di media sosial, Ahmad Samsuri berkata, setiap tandatangan yang dibuat bukan sekadar memenuhi proses pencalonan, sebaliknya membawa amanah besar untuk memperjuangkan suara rakyat Johor.
“Semoga Allah SWT merestui dan mengurniakan kemenangan kepada calon-calon Perikatan Nasional dan dipermudah segala urusan,” katanya.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik beliau, watikah pelantikan itu melibatkan calon daripada Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Bersatu .
Ketiadaan Parti Wawasan Negara (Wawasan) dalam senarai parti yang menerima watikah pelantikan dijangka mengundang persoalan mengenai kedudukan serta peranannya dalam PN menjelang PRN Johor.
Pada masa sama, penyertaan Pejuang dalam pembahagian kerusi turut menjadi tumpuan selepas parti itu diterima secara rasmi menyertai PN baru-baru ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini memaklumkan Pejuang hanya diperuntukkan satu kerusi untuk ditandingi pada PRN Johor, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.
PRN Johor dijangka menjadi medan ujian pertama kepada kerjasama politik melibatkan beberapa parti dalam PN, selain mengukur sejauh mana penerimaan rakyat terhadap pengembangan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum akan datang. – MalaysiaGazette
















