GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga tempatan ditemukan meninggal dunia lebih empat hari di dalam sebuah kereta di Jalan Lintang Merdeka di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai penemuan lelaki berusia 55 tahun yang tidak sedarkan diri di dalam kenderaan itu kira-kira jam 9.50 pagi.
Kata beliau, kejadian tersebut disedari seorang pekerja pembersihan kira-kira jam 9.30 pagi yang menemukan sebuah kereta berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan, sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa ditemukan di tempat duduk pemandu dalam keadaan berpakaian lengkap selain kenderaan tersebut tidak berkunci.
“Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa dan kawasan sekitar tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
“Mangsa juga dipercayai mempunyai rekod penyakit kronik serta sedang menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan keadaan mayat, mangsa dianggarkan telah meninggal dunia lebih empat hari sebelum dia ditemukan.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat,” katanya. – MalaysiaGazette
















