Gambar hiasan

KUCHING – Seorang mekanik yang merempuh sekatan jalan raya (SJR) dan melanggar pegawai polis bertugas di Jalan Padungan, dekat sini pada Sabtu lepas bakal berdepan pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata siasatan melibatkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol masih berjalan dan polis akan memfailkan pertuduhan tambahan itu mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan sebaik sahaja keputusan laporan kimia diterima.

Selasa lepas, lelaki tempatan berusia 29 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 27 bulan oleh Mahkamah Kuching atas kesalahan merempuh SJR dan melanggar seorang pegawai kanan polis ketika operasi cegah jenayah.

“Bukan sahaja bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol malah suspek telah didakwa atas beberapa kesalahan lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 20 Jun lepas, seorang pegawai kanan polis cedera di bahagian kaki selepas dilanggar seorang lelaki tempatan yang bertindak merempuh SJR di Jalan Padungan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan berhubung kejadian itu, memaklumkan saringan awal air kencing mendapati lelaki itu juga positif dadah amphetamine, methamphetamine, ketamine dan benzodiazepine serta mempunyai enam rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast