Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddjn Mohd Fuad bersama dua pencabarnya, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlee Bohani dan calon Parti Bersama Malaysia (PBM), Salamahafifi Mohd Yusnaieny selepas proses penamaan calon di Dewan Cahaya Kempas, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N47 Kempas bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Johor selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Cahaya TNB Kempas, hari ini.

Penyandang kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlee Bohani akan mempertahankan kerusinya dengan berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Faezuddin Mohd serta calon Parti Bersama Malaysia (PBM), Salamahafifi Mohd Yusnaieny.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Pusat Penamaan Calon N47 Kempas selepas hanya tiga borang pencalonan diterima sehingga tempoh penyerahan ditutup pada jam 10 pagi dan selesai melalui proses bantahan kira-kira sejam kemudian.

Terdahulu, Salamahafifi menjadi calon pertama mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.05 pagi, diikuti Ramlee pada jam 9.12 pagi dan Muhammad Faezuddin pada jam 9.18 pagi.

Sebelum itu, Salamahafifi turut menjadi calon paling awal tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 7.50 pagi dengan diiringi pencadang serta penyokongnya.

Ramlee pula tiba sekitar jam 8.45 pagi, manakala Muhammad Faezuddin hadir lima minit kemudian.

Pada PRN Johor sebelum ini, Ramlee yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mempertahankan kerusi Kempas selepas memperoleh 11,919 undi.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan, Napsiah Khamis @ Maharan; calon Perikatan Nasional, Nur Faizal Abdullah; calon Pejuang, Nornekman Osman serta tiga calon bebas dengan majoriti 3,514 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal bagi PRN Johor pada 7 Julai, manakala hari pengundian penuh berlangsung pada 11 Julai ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast