JOHOR BAHRU – PKR akan terus memperhebat penerangan kepada rakyat mengenai isu kos sara hidup termasuk harga bahan api yang menurut parti itu banyak dipengaruhi faktor global.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustapha berkata, kenaikan harga bukan berpunca daripada kelemahan kerajaan semata-mata, sebaliknya dipengaruhi konflik antarabangsa dan kestabilan bekalan dunia.
“Perdana Menteri berusaha untuk mendapatkan kerjasama dengan negara pengeluar tenaga juga merupakan antara langkah kerajaan bagi memastikan bekalan serta harga dapat dikawal.
“Perkara paling penting ialah kita terus memberi penjelasan kepada rakyat supaya mereka memahami bahawa isu ini banyak dipengaruhi faktor global.
“Kerajaan juga sedang mengambil pelbagai langkah untuk memastikan bekalan dan harga dapat distabilkan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Keadilan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan pembangkang kononnya langkah kerajaan yang menyeragamkan pelaksanaan subsidi diesel BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) di seluruh negara mulai 1 Julai ini disebabkan musim Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) di Johor. – MalaysiaGazette
















