Reaksi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan membebaskan beliau dari sabitan dan hukuman terhadap kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahahan wang haram, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal bebas atau dipenjara dan denda bagi empat kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA), akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, Selasa ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais akan memutuskan rayuan pendakwa raya yang mahukan pembebasannya diketepikan yang mana apa sahaja keputusan yang dicapai, bakal menentukan nasib Ahli Parlimen Muar itu dalam karier politiknya.

Menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang itu tidak layak menjadi calon sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan di bawah peruntukan sama, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.

Abu Bakar yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd Ruzima Razali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah selesai mendengar penghujahan pihak-pihak pada Disember tahun lalu.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Rayuan bagi keputusan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahahan wang haram, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2025 (GAMBAR FAIL)

Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 34, daripada hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta bagi empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan AMLA.

Pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, merayu untuk mengetepikannya dan memohon keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023 yang mensabit dan menghukumnya, dikekalkan.

Jika panel hakim membenarkan rayuan pendakwaan, sabitan dan hukuman terhadap bekas Ketua Armada Bersatu itu dikekalkan dan beliau akan menjalani hukuman penjara serta-merta.

Namun, jika rayuan akhir itu ditolak, Ahli Parlimen Muar itu akan kekal bebas tanpa sabitan dan hukuman.

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala pasukan peguam diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu, melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 dan 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast