Calon BN N.44 Larkin, Mohd Hairi Mad Shah menyantuni peniaga ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pasar Malam Kg Melayu Majidee, Larkin. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JUN 2026.

JOHOR BAHRU –  Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N44 Larkin, Mohd Hairi Md Shah menyifatkan suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di kawasan itu setakat tiga hari ini berlangsung dalam keadaan tenang, harmoni dan profesional tanpa sebarang provokasi.

Menurutnya, pendekatan matang yang dipamerkan semua pihak bertanding membolehkan rakyat menilai sendiri tawaran dan kekuatan setiap calon tanpa dicemari unsur yang boleh menjejaskan keharmonian sepanjang tempoh berkempen.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Keadaan tenang dan tiada mana-mana pihak yang menimbulkan provokasi. Inilah yang kita panggil kempen secara profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni usahawan IKS, penjaja dan pengunjung di Pasar Malam Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Calon BN N.44 Larkin, Mohd Hairi Mad Shah menyantuni penduduk ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pasar Malam Kampung Melayu Majidee, Larkin. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JUN 2026.

Dalam pada itu, Mohd Hairi  turut gembira melihat reaksi positif dalam kalangan peniaga terhadap pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntuk lebih RM9 juta dalam tempoh dua tahun bagi membantu usahawan IKS di seluruh Johor termasuk menyediakan insentif khemah kepada penjaja bagi membantu mereka menjalankan perniagaan dengan lebih selesa.

“Saya melihat peniaga begitu gembira apabila kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang besar kepada penjaja yang memperoleh khemah melalui Perbadanan Usahawan Johor di bawah portfolio saya.

“Bantuan ini bukan hanya dinikmati peniaga di Kampung Melayu Majidi, malah turut melibatkan usahawan di seluruh daerah dan pelosok Johor menerusi peruntukan melebihi RM9 juta sepanjang dua tahun,” ujarnya lagi.

Calon BN N.44 Larkin, Mohd Hairi Mad Shah menyantuni penduduk ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pasar Malam Kampung Melayu Majidee, Larkin. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JUN 2026.

Mengulas persaingan di DUN Larkin, Mohd Hairi menjangkakan pertandingan yang sihat dengan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat yang disifatkannya mempunyai kekuatan tersendiri sebagai Ahli Parlimen Pulai.

Katanya, beliau pula mempunyai kelebihan sebagai penyandang DUN Larkin selain pengalaman sebagai Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor yang membolehkannya memahami keperluan masyarakat setempat.

“Saya melihat Suhaizan mempunyai kelebihan sebagai ahli Parlimen manakala saya mempunyai kelebihan sebagai penyandang DUN Larkin dan Exco Kerajaan Negeri yang datang dari kawasan ini.

“Pastinya kita akan melihat satu pertembungan yang cukup baik dan sihat sepanjang kempen ini,” katanya lagi.

Mohd Hairi turut menegaskan, hubungan baik antara beliau dan Suhaizan membuktikan persaingan politik tidak semestinya membawa kepada permusuhan atau pertelingkahan.

“Walaupun kami bertanding di gelanggang yang sama, kami berkawan baik. Sebab itu saya dan beliau tidak mencetuskan sebarang kontroversi yang boleh mengganggu keharmonian kempen.

“Malah saya turut berkongsi kegembiraan apabila beliau (Suhaizan) memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai sebelum ini. Itu menunjukkan persaingan politik tidak seharusnya menghakis hubungan persahabatan,” katanya.

Beliau berharap budaya berkempen secara matang dapat diteruskan sehingga hari pengundian supaya rakyat dapat membuat pilihan berdasarkan prestasi, rekod perkhidmatan dan tawaran yang dibawa setiap calon, bukannya dipengaruhi sentimen atau provokasi politik. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast