Datuk Onn Hafiz Ghazi

SEGAMAT – Calon Barisan Nasional (BN) yang tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 11 Julai ini tidak akan dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan.

Perkara itu disahkan Menteri Besar yang juga Pengerusi Perhubungan BN Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tegasnya, BN tidak mempunyai rancangan untuk mengamalkan “pintu belakang” dengan melantik calon yang kalah menjadi pemimpin dalam kerajaan negeri seperti didakwa sesetengah pihak.

Ini kerana jelas beliau, calon yang kalah adalah calon yang tidak dipilih pengundi sekali gus tidak layak mewakili suara rakyat.

Sehubungan itu katanya, calon-calon yang kalah tidak akan dilantik ke mana-mana jawatan bagi memelihara imej BN sebagai sebuah parti yang menghormati mandat rakyat secara mutlak.

“Kita bukan macam DAP. Calon kalah, dia lantik sebagai senator (ADUN Lantikan).

“Kita (BN) siapa kalah, dia kalah. Rakyat tak terima, kita (parti) tak akan lantik.

“Saya minta bangsa Johor, jangan percaya fitnah dan tipu yang dibuat,” katanya selepas melancarkan jentera Barisan Nasional bagi DUN Kemelah dan Pemanis di Segamat, Johor, hari ini.

Barisan jentera BN hadir memberi sokongan walaupun ketika hari bekerja pada Selasa sebagai isyarat sokongan kepada BN

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pelantikan seorang pemimpin DAP sebagai Ahli Dewan Negara baru-baru ini, sekali gus menjadikan isu tersebut antara peluru politik paling hangat sepanjang kempen PRN Johor setakat ini.

Terdahulu Naib Pengerusi DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, yang lebih dikenali sebagai Sheikh Omar dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bermula 11 Mei 2026 lalu.

Onn Hafiz turut menyifatkan dakwaan calon BN yang kalah akan tetap dilantik sebagai ADUN Lantikan sebagai propaganda murahan dan cubaan menanam persepsi negatif terhadap parti itu.

Susulan itu, beliau berharap agar pengundi mesti menyokong semua calon BN untuk memastikan penubuhan sebuah kerajaan yang kukuh, kuat, dan stabil.

Kemenangan itu akan membuktikan mereka yang menang dari peti undi  yang benar-benar mewakili suara rakyat dan akan terus membela bangsa Johor.

Ini sekali gus menyaksikan hanya calon yang menang dan mendapat restu pengundi berhak bercakap atas nama rakyat serta menentukan hala tuju kerajaan negeri.

Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Sekijang Restoran Siong Hai Kee di Segamat, di sini hari ini bagi calon BN di DUN N04 Kemelah, Raven Kumar Krishnasamy dan DUN N03 Pemanis, Anuar Abd Manap.

 

Onn Hafiz berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Sekijang Restoran Siong Hai Kee di Segamat, di sini hari ini bagi calon BN di DUN N04 Kemelah, Raven Kumar Krishnasamy dan DUN N03 Pemanis, Anuar Abd Manap.

Sementara itu ketika ditanya penerimaan dan sambutan rakyat terhadap kempen kepada calon BN pada hari keempat, Onn Hafiz berkata, beliau optimis.

Tambahnya, gelombang sokongan terhadap BN semakin dirasai di lapangan apabila pelbagai lapisan masyarakat dilihat kembali memberi kepercayaan kepada parti itu.

“Alhamdulillah rata-rata saya pergi tengok kempen penerimaan  terhadap calon termasuk Kemelah dan Pemanis semakin postif, Melayu, Cina, India, Orang Asli dan Bangsa Johor.

“Setakat ini penerimaan sangat baik. Melayu, Cina, India, Orang Asli dan Bangsa Johor semakin bersama BN,” katanya.

PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan, manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai.

Ia membabitkan seramai 2,727,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast