Calon PH DUN Gambir, Mohd Yusof Mohd Nor ketika berkempen di sekitar pekan Bukit Gambir sempena PRN Johor ke-16.

BUKIT GAMBIR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir perlu dipastikan selari dengan parti politik yang mentadbir Kerajaan Persekutuan supaya agenda pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan itu dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan pantas.

Sehubungan itu, calon Pakatan Harapan (PH) DUN Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof berkata, pengundi DUN itu tidak wajar melepaskan peluang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dalam memastikan nasib mereka benar-benar terbela.

Apatah lagi, ujar anak jati kelahiran Tangkak itu, beliau sendiri sudah merangka pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan buat pengundi DUN Gambir sekiranya diberikan peluang pada hari pengundian 11 Julai ini.

“Sudah semestinya apabila wakil rakyat di DUN Gambir ini selari dengan Kerajaan Madani, maka ia lebih mudah dari segi penyaluran peruntukan dan bantuan serta sebagainya.

“Suara penduduk DUN Gambir juga dapat dibawa secara terus bukan hanya di peringkat kerajaan negeri atau DUN, malah sehingga ke Putrajaya,” katanya yang juga Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ledang kepada MalaysiaGazette hari ini.

Calon PH DUN Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof bertemu ahli kariah masjid di pekan Bukit Gambir.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, orang Melayu dan umat Islam di DUN Gambir juga tidak seharusnya terpengaruh dengan dakwaan kononnya kepentingan dan kebajikan mereka akan terpinggir sekiranya mendapat wakil rakyat daripada PH.

Menurutnya yang lebih dikenali sebagai `Haji Mohd Nor’ dalam kalangan penduduk setempat, dakwaan seperti itu sengaja dimomok-momokkan untuk menakutkan pengundi Melayu dan umat Islam, sedangkan ia langsung tidak berasas dan sangat jauh terpesong.

Tambahnya, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas terbukti melindungi serta mempertahankan kepentingan Melayu, bumiputera dan umat Islam, malah Kerajaan Madani juga paling banyak menyediakan dana serta peruntukan bagi kepentingan orang Melayu-Islam.

“Dalam masa sama, Kerajaan Madani juga tidak meminggirkan kaum-kaum lain khususnya masyarakat Cina serta India.

“Di sebuah kawasan yang penduduknya terdiri daripada berbilang kaum seperti di DUN Gambir ini, perhatian tanpa meminggirkan mana-mana kaum adalah faktor paling kritikal dalam mengekalkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Calon PH DUN Gambir, Mohd Yusof Mohd Nor ketika berkempen di sekitar pekan Bukit Gambir sempena PRN Johor ke-16.

Pada PRN Johor 11 Julai ini, Mohd Nor akan cuba merampas DUN Gambir daripada penyandangnya iaitu calon Barisan Nasional (BN), Sahrihan Jani selain turut dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Suraya Sulaiman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast