Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said melancarkan pelan strategik KEJORA pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sanjungan Legasi KEJORA Tahun 2025 di Lotus Desaru, Johor. Foto SADIQ SANI, 02 JULAI 2026.

KOTA TINGGI – Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi tradisi Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka sudah mengetahui bahawa kerajaan negeri sudah terbentuk sebelum Kerajaan Perpaduan diwujudkan lagi.

“Tidak timbul masalah kerjasama antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan, apatah lagi kami yang berada dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan bekerja secara profesional dengan cukup erat.

“Untuk negeri Johor, tentunya BN yang meletakkan 56 calon harus bergerak bagi menentukan bahawa calon-calon yang kita ketengahkan itu memperoleh kemenangan yang selesa bukan sekadar membentuk kerajaan yang ada.

“Tentunya kita berhasrat untuk memperoleh jumlah kemenangan melalui sokongan kerusi yang bertambah dan tentunya jika ada sokongan daripada pihak lain, ini akan memberikan advantage kepada kita,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Santunan Kasih Kejora di Lotus Desaru di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Beliau mengulas sama ada kerjasama erat antara BN dan juga Pakatan Harapan (PH) pada peringkat Persekutuan akan mengundang kekeliruan kepada pengundi tradisi BN.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, kerajaan negeri bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi amat cemerlang sehingga berjaya memperoleh pendapatan RM2.26 bilion pada tahun lalu.

Jelasnya, itu merupakan prestasi yang terbaik di antara semua negeri di Semenanjung.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said bergambar kenangan bersama kakitangan KEJORA pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sanjungan Legasi KEJORA Tahun 2025 di Lotus Desaru, Johor. Foto SADIQ SANI, 02 JULAI 2026.

Katanya, sudah tentu bantuan kerajaan negeri yang diberikan kepada Bangsa Johor adalah suatu bukti bahawa pendapatan negeri itu diagihkan mengikut kumpulan sasaran yang ditetapkan tanpa mengira latar belakang mereka.

“Insya-Allah, jika sokongan dapat diberikan dengan mandat yang lebih besar, tentunya prestasi yang akan diperlihatkan akan lebih memberangsangkan,” katanya.

Menurutnya, daripada manifesto BN Johor yang dibentangkan memperlih perancangan berdasarkan kepada kawasan-kawasan fokus dan fakta-fakta teras akan dapat diterjemahkan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Terdahulu ketika berucap, beliau memberi jaminan jika rakyat Johor terus memilih Menteri Besar Johor dan BN pada PRN Johor, hubungan baik dan kesinambungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat akan diteruskan.

​“Siapa kata kalau kerajaan yang ada sekarang ini dipilih semula, tidak ada hubungan yang baik dengan kerajaan Pusat? Siapa kata?

“Sayalah yang memberikan jaminan, jaminan utama. Insya-Allah, jika mandat diberikan semula kepada Datuk Onn Hafiz, saya akan pastikan kerjasama yang erat.

“Kerjasama yang erat daripada kerajaan Negeri dan kerajaan Pusat sebab saya adalah orang nombor dua yang membantu Perdana Menteri. Maka tentunya saya bertanggungjawab untuk memastikan keakraban kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat demi kepentingan Bangsa Johor untuk dimajukan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast