Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berucap pada Sembang Inspirasi, Parit Yaani bersama orang ramai sempena Kempen Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) di Sup Kambing Kanopi, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 2 JULAI 2026.

SRI GADING – Bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mengajak penyokong Bersatu mengikut jejak Pas dengan memberikan sokongan kepada calon BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN), sambil menyifatkan langkah itu sebagai manifestasi semangat kolaborasi agung” dalam kalangan orang Melayu.

Beliau berkata, walaupun BN berusaha meningkatkan sokongan pengundi bukan Melayu, agenda penyatuan orang Melayu tidak boleh diketepikan, khususnya di Johor.

“Kalau tidak ada calon daripada PN, kita ajak pengundi daripada Bersatu juga untuk sokong BN atas semangat kolaborasi agung dalam kalangan orang Melayu.

“Walaupun kita tidak mahu melihat orang bukan Melayu dipinggirkan, penyatuan Melayu adalah sesuatu yang diharapkan oleh sebahagian besar orang Melayu, terutama di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membantu kempen calon BN bagi kerusi Parit Yaani, Najib Samuri, di Parit Besar, hari ini.

Menurut Khairy, Bersatu dan Pas tidak seharusnya dianggap sebagai musuh politik BN kerana semua parti berkenaan berasal daripada “rumpun yang sama”.

“Kita semua datang daripada rumpun yang sama. Bersatu bukan musuh kita, Pas juga bukan musuh kita.

“Bila ada rakan-rakan kita yang tidak bertanding, contohnya di kerusi ini (Parit Yaani), kita ajak mereka sokong kita,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy memuji sikap Pas yang mengarahkan ahlinya menyokong calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN, namun mengingatkan jentera parti supaya terus mendekati penyokong dan ahli Pas bagi memastikan mereka keluar mengundi.

“Walaupun mereka tidak bertanding, saya telah minta calon dan juga jentera kita mendekati penyokong serta ahli-ahli PAS supaya mereka keluar mengundi.

“Kita risau mereka mungkin tidak keluar mengundi kerana tiada calon PN. Walaupun PAS telah menyatakan sokongan, kita tetap perlu buat usaha sendiri dengan bertemu mereka,” katanya.

Mengulas sokongan pengundi bukan Melayu, Khairy berkata, BN tidak boleh hanya bergantung kepada kekecewaan pengundi terhadap Pakatan Harapan (PH) dan DAP, sebaliknya perlu bekerja keras untuk meyakinkan mereka memberi peluang kepada gabungan itu.

“Saya melihat hari ini ada kekecewaan dalam kalangan pengundi bukan Melayu, terutama pengundi Cina, terhadap PH dan DAP.

“Tetapi, jangan kita harap secara automatik mereka akan beri undi kepada BN. Orang kecewa dengan pihak lain itu satu hal, tetapi tidak semestinya mereka suka kepada kita.

“Usaha kita dalam tempoh 10 hari ini adalah untuk meyakinkan mereka supaya memberi peluang kepada BN,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast